Assalamualaikum/ Selamat Sejahtera,
Semasa rehat selepas mesyuarat dengan pegawai kanan kementerian kewangan Sabah pagi rabu kelmarin, kami borak-borak dan subjek HAIR tak semena-mena jadi sebutan. HAIR yang di maksudkan bukan lah istilah Rambut dalam bahasa Inggeris, tetapi sebuah ringkasan konsep atau falsafah yang di terapkan menjadi sebahagian budaya-kerja di Sarawak Shell Berhad. Saya berpeluang bekerja sebagai Jurutera Projek di Sarawak Shell Berhad ,sebuah syarikat multinasional. Saya meninggalkan jawatan Jurutera Proses di Sabah Gas Industries pada tahun 1988 setelah mendapat tawaran yang sukar untuk di tolak dari Syarikat Shell tersebut yang berpengkalan di Miri, Sarawak.
Walaupun hampir 17 tahun saya telah tinggalkan Shell, namun Falsafah HAIR yang saya pelajari semasa bekerja di sana masih segar dalam ingatan.
HAIR yang di maksudkan adalah ringkasan dari empat perkataan yang membawa makna mendalam bagi membina jatidiri kakitangan syarikat gergasi dalam sektor Petroleum dan Gas tersebut.
H bermaksud Helikopter,di mana setiap pekerja Shell mesti berpandangan jauh, mempunyai visi yang jelas, mampu ‘berfikir di luar kotak’, sentiasa sedar bahawa sebarang tindakan ‘besar’ yang di ambil memberi kesan bukan sahaja kepada diri kita, lingkungan mau pun zaman kita semata-mata bahkan akan mendatangkan impak positif atau negatif kepada orang lain melepasi jangkauan dan sempadan tempat dan masa.Oleh itu, amatlah wajar sebelum mengambil sebarang tindakan, bayangkan diri anda sebuah Helikopter yang boleh terbang tinggi, mampu melihat apa yang ada di sebalik bukit-bukau, hutan belantara dan sungai serta lautan yang luas.Dengan kelebihan memandang jauh, sudah pasti tindakan yang di ambil adalah lahir dari perancangan teliti dengan mengambil-kira risiko, kekuatan serta kelemahan, peluang serta ancaman hasil dari kualiti dan kelebihan berpandangan jauh tersebut.
A pula bermaksud ‘Analytical Power (AP)’ atau Kekuatan Menganalisa. Orang yang memiliki kemampuan serta kekuatan menganalisa akan sentiasa berada berbatu-batu di hadapan dari segi kejayaan di bandingkan dengan yang tidak memiliki kualiti tersebut. Bayangkan anda di berikan tugasan mudah untuk beli ikan, dan bagi kebanyakan kita akan terus pergi ke pasar berdekatan, beli ikan dan terus pulang.Namun bagi mereka yang memiliki AP, mungkin mereka akan buka akhbar atau internet untuk menilai harga semasa ikan di pasaran agar mereka tidak tertipu, akan membuat perbandingan samada berbaloi beli ikan segar di pasar, hypermarket atau langsung dari nelayan di jeti punggahan ikan . Mereka juga akan menilai waktu paling sesuai untuk keluar memandu misalnya untuk membeli ikan tersebut agar dapat ikan paling segar dan pada masa yang sama tidak terperangkap dalam kesesakan lalu-lintas yang boleh menyebabkan ikan menjadi rosak. Kegagalan memiliki AP dalam menyelesaikan sebarang permasaalahan atau isu akan memberikan natijah atau hasil yang kurang sempurna atau menemui kegagalan sama-sekali.
I pula membawa maksud ‘Initiative’ atau inisiatif . Mereka yang memiliki sikap berinisiatif adalah mereka yang mempunyai kekuatan dalaman dan ‘passion’ untuk melakukan sesuatu yang mereka suka atau rasa sebagai tanggungjawab mereka untuk lakukan. Mereka tergolong dari insan yang dedikasi, berdisiplin dan amat memahami tugas,peranan maupun tanggungjawab yang mereka pegang. Bagi mereka memegang amanah bukan setakat ‘melepaskan batuk di tangga’ bahkan dalam setiap ketika mereka memilih untuk melaksanakan tugas melebihi apa yang di jangka atau di harapkan oleh majikan mereka.
R adalah ‘Realistic atau Sense of Reality’. Dalam maksud yang mudah, seorang yang memiliki ‘a sense of reality’ adalah seorang yang berpijak di bumi yang nyata. Walau setinggi mana pun visi, cita-cita, maupun perancangan yang ingin kita laksanakan, namun kita mesti sentiasa sedar akan kekangan, halangan serta cabaran yang akan terus kita hadapi.Sehubungan itu, sebarang perancangan yang ingin di lakukan mestilah mengambil kira kos, masa dan sumber-sumber yang realistik dari segi ketepatan serta keadaannya. ‘R’ juga boleh membawa makna Root atau Akar di mana seseorang itu wajar sentiasa ingat asal-usulnya atau asas tempat dia bermula. Dengan mengingati ‘Root’ nya, sudah pasti dia tidak akan terlalu sombong atau takbur apabila sudah berjaya mencapai apa yang dicita-citakan.
Falsafah HAIR ini sebenarnya boleh diaplikasikan dalam setiap bidang dan keadaan dan sudah pasti akan meningkatkan potensi diri mereka yang mengamalkannya di masa hadapan.
Terima kasih atas perkongsian ilmu ini, Datuk
Kepada Saudara Aziz, semoga berjaya dalam pementasan Teater Perdana itu nanti.
satu renungan diri sebenarnya. menarik dan akan cuba diaplikasikan. terima kasih kerana perkongsian ini. saya adalah bekas pengarah teater lungun yang datuk saksikan di perpustakaan tawau tahun 2007. terima kasih juga atas sokongan datuk untuk teater perdana sang maharaja. kami akan cuba memberikan yang terbaik untuk khalayak teater di daerah ini. salam
tips HAIR yg sungguh berguna…