PERISTIWA LUCU BERSAMA MAK CIK DARI KOTA BELUD

Ini adalah peristiwa benar yang berlaku kepada saya beberapa tahun lalu semasa saya masih bertugas sebagai Pembantu Menteri Kementerian Pembangunan Luar Bandar Negeri Sabah. Sebagai penjawat awam dan wakil rakyat, pejabat saya di Tawau maupun di Kota Kinabalu memang tidak pernah sunyi dari di kunjungi pelawat-pelawat yang datang untuk pelbagai maksud serta tujuan.
Ada yang mengadu tentang masaalah kekurangan infrastruktur di kampung, tidak kurang pula yang memohon sokongan untuk mendapatkan pekerjaan, sokongan untuk biasiswa, sokongan untuk berurusan dengan jabatan-jabatan kerajaan, malah ramai yang menganggap bahwa pejabat wakil rakyat adalah pusat mendapatkan bantuan kebajikan kewangan dan lain-lain.

Pada suatu hari, pejabat saya di Kota Kinabalu di kunjungi seorang wanita tua dengan pakaian yang comot, mulut mengunyah sirih hingga ternampak lah barisan gigi ronggak berwarna merah kehitam-hitaman.

“Assalamualaikum Mak Cik, silakan masuk dan ambil tempat duduk” kata saya sambil mempersilakan wanita tua yang dalam jangkaan saya berumur lebih 60 tahun itu untuk duduk di kerusi tetamu . Wanita tua itu tanpa bersuara terus saja duduk dengan bola matanya merenung saya dengan pandangan yang tajam.. Saya melakar senyuman kepadanya untuk memastikan dia berada dalam keadaan selesa dan tidak terlalu kekok berada di pejabat Pembantu Menteri,kononnya… Hati saya pula tertanya-tanya gerangan nenek siapa lah ni di biarkan berkeliaran hingga tersesat masuk kepejabat saya..hehe…

“Di mana saya boleh berludah Datuk?”pertanyaannya yang tidak berapa jelas kerana mulut yang penuh air liur merah ibarat darah, menyentak lamunan saya dan saya terus bergegas menunjukkan arah bilik air yang tak berapa jauh dari meja saya. “Di situ Mak Cik, pegi lah Mak Cik” kata saya sambil berharap-harap Mak Cik itu tidak tersembur air liur nya di karpet biru bilik saya.

Beberapa minit kemudian Mak Cik itu kembali duduk ,nampak dia dalam keadaan lega tapi masih lagi mengunyah sirih.
“Apa yang boleh saya bantu Mak Cik?” tanya saya dengan tidak sabar menanti jawapan wanita tua tersebut. “Saya mohon Datuk bantu saya untuk bayarkan yuran sekolah cucu-cucu saya”ujarnya selamba sambil mengeluarkan beberapa keping kertas lalu menyerahkan kepada saya. Saya pun meneliti kepingan-kepingan kertas yang hampir koyak mungkin kerana terlalu kerap di usung ke hulu dan ke hilir oleh wanita tua tersebut.

“Ini senarai tuntutan yuran cucu-cucu Mak Cik yang bersekolah di Kota Belud, makna nya Mak Cik ni pun datang dari Kota Belud lah kan?” tanya saya dan wanita tua itu mengangguk-angguk kepala tanda mengiyakan bahawa memang sah dia dari Kota Belud.

“Mak Cik, bukan nya saya tak mau bantu, tapi kalau Mak Cik dari Kota Belud sewajarnya Mak Cik kena pegi jumpa YB-YB dari Kota Belud seperti Datuk Salleh Said, Tan Sri Pandikar, Datuk Japlin atau Datuk Hj Musbah, pasti dorang akan bantu Mak Cik” saya cuba memberi penjelasan sebagai alasan untuk tidak perlu membantu berbentuk kewangan kepada wanita tua itu. Dalam hati saya kalau semua orang yang datang dari seluruh Sabah minta bantuan kewangan dan saya penuhi permintaan mereka, alamat kering lah wang gaji saya sebelum pertengahan bulan dan tambah botak lah kepala saya ni….

“Kenapa Datuk tidak boleh bantu saya kah?”tanyanya lagi,
“Mak Cik, biasanya saya selaku wakil rakyat dari Tawau DUN Apas akan bantu kewangan bagi rakyat Tawau atau Apas yang susah tapi bukan rakyat dari kawasan lain”,
“Tapi Datuk ada jawatan kah dalam Kerajaan Sabah?” tanya wanita tua itu lagi..
“Ada Mak Cik, saya Pembantu Menteri Luar Bandar Sabah”,jawapan saya membuat Mak Cik tua itu tambah berkerut dahi nya yang memang pun sudah penuh dengan garis-garis lambang pengalaman pahit perjuangan kehidupannya .

“Datuk jadi Pembantu Menteri Luar Bandar hanya untuk kawasan Tawau dan Apas saja kah Datuk?”soalan cepu emas Mak Cik tua ini benar-benar menghiris dan melumatkan perasaan ego saya dan hampir-hampir menyebabkan saya terjatuh dari kerusi empuk saya.

“Tidak Mak Cik, saya jadi Pembantu Menteri Luar Bandar untuk Seluruh Negeri Sabah”jawab saya seakan-akan tidak bermaya kerana saya dapat menjangkakan bahawa hujah wanita tua dari Kota Belud itu seterusnya sudah pasti akan mematahkan segala strategi awal saya.

“Kalau begitu Datuk Wajib bantu saya kerana saya orang susah dari luar bandar Sabah, dari Kota Belud ni Datuk”, katanya dengan bangga, seakan-akan Pendakwa Raya Kanan Persekutuan yang telah berjaya mematah dan menamatkan hujah-hujah lawannya.

“Baik lah Mak Cik , saya boleh bantu sikit tapi tidak lah bantu bayar semua yuran-yuran itu”, jawab saya sambil menyeluk saku dan mengeluarkan dua keping nota RM50 dan menghulurkan ketangan wanita tua yang tersenyum-senyum gembira itu.

“Terima kasih Datuk, mudah-mudahan Datuk tambah murah rezeki”, itulah kata-kata akhir dari Mak Cik tua dari Kota Belud yang selepas itu tidak lagi pernah saya temui.

“Terima kasih kembali kerana menyedarkan saya tentang tugas yang saya pikul sebagai wakil rakyat dan jemaah kabinet Negeri Sabah”bisik hati kecil saya sambil bersyukur ke Hadrat Allah kerana menghantar seorang wanita tua miskin untuk mengajar saya tentang makna tanggung-jawab dalam memegang jawatan.

Demikian lah peristiwa lucu tapi penuh dengan makna serta iktibar yang akan terus segar dalam ingatan saya dan akan menjadi sebahagian panduan dalam meneruskan liku-liku perjuangan sebagai wakil yang berkhidmat untuk rakyat….

9 Responses to “PERISTIWA LUCU BERSAMA MAK CIK DARI KOTA BELUD”

  1. Abg Aji says:

    Bercampur baur perasaan saya tak kala menitip setiap baris daripada coretan pengalaman Datuk itu… Lucu.. Sedih … bangga semua ada.

    Namun rasa bangga segera menerjah ke lubuk hati dek kesedaran sepertimana yang Datuk zahirkan. Terdetik juga di hati, alangkah baiknya nasib masyarakat di tempat saya sekiranya berpeluang berwakilrakyatkan insan berhati mulia seperti Datuk.. (bukan bodek tapi ikhlas..)

    Sebagai pemastautin yang berkelana di bumi Tawau, saya beruntung kerana berpeluang mengenali Datuk…

  2. romzi says:

    makcik tu macam memaksa plak minta tolong :)

  3. C C GAN says:

    Lain kali kalau kita mau jumpa Datuk mesti kunyah sirih dan pinang baru permintaan kita dapat ditunaikan….he he gurau ja Kawanku.

  4. halim says:

    Salamualaikum..
    Lucu dan terharu jugak mendengar cerita ini Datuk.Mungkin seluruh Sabah ni tau akan sifat peramah dan baik hati datuk ni.Sebab tu orang dak segan silu untuk datang meminta sesuatu kepada datuk.Ditambah lagi kehenseman datuk ni kompom semua datang..hehehehe (main2 ya datuk).

    Tapi yang saya heran pandai jugak makcik ni menyoal ya. “Tapi Datuk ada jawatan kah dalam Kerajaan Sabah?”..“Datuk jadi Pembantu Menteri Luar Bandar hanya untuk kawasan Tawau dan Apas saja kah Datuk?”..Mcm wartawan punya soalan..hehehehe.

    Dan pandai menjawab..“Kalau begitu Datuk Wajib bantu saya kerana saya orang susah dari luar bandar Sabah, dari Kota Belud ni Datuk”,…ada pakej makcik kita ni datuk..

    Saya terpikir mungkin dia berguru dengan org yg bijak sebelum berhujah dengan datuk.Ataupun ada orang yg mengarahkan makcik tu untuk meminta bantuan dengan datuk.Mustahil bagi saya untuk makcik tu bertanyakan soalan seperti itu pada datuk

    Dakpa, segala kebaikan yg kita lakukan, akan dibalas dengan kebaikan jugak tu.Tidak dr manusia, ALLAH S.W.T akan membalasnya baik dunia dan akhirat.Moga ringan jugak baban makcik tu membayar yuran sekolah cucunya..

    Tapi dimana YB di sana tu.Kenapa ya makcik tu dak kemukakan masalahnya kepada YB2 ditmpatnya.

  5. Oh ya, sedikit tambahan… mentaliti sebahagian besar masyarakat kita memang begitu. Sebahagian besar yang datang bertemu YB/Wakil Rakyat/Menteri rata-ratanya memohon bantuan kewangan, peruntukan atau apa-apa sahaja yang melibatkan fulus. Sebab tu arwah abah saya berkata, kalau mahu jadi ‘YB’, kita mesti banyak duit, sebab hari-hari akan ada orang datang minta duit dengan kita. Kalau tidak bagi, orang akan kata kita kedekut. Hehe.

  6. Hikhik. Sebuah penceritaan yang bersahaja tetapi mempunyai makna yang sungguh mendalam. Memang benar Datuk, hal-hal yang kecil dan yang tidak dijangka itulah yang adakalanya memberi kesedaran kepada kita, kan :-)

    Datuk, entah-entah makcik ni sekampung dengan saya kot. Haha.

  7. ahmaddon91 says:

    selambanya makcik toe…. siap mengunyah sirih lagi…

  8. aziz says:

    askum. saya tertarik dengan dengan artikal yang bersahaja ini. bagai membaca sebuah cerpen yang kaya dengan unsur moral. saya pernah juga terdengar dengan YB yang menberikan duit sendiri kepada rakyat yang memohonkan pertolongannya. kesan kepada saya tentang cerita ini lah tentang mentaliti rakyat kita terutamanya bumiputera. mengapa dalam bumi yang penuh dengan emas dan intan ini pribuminya masih meminta-minta. pernah seorang sahabat saya yang datang ke tawau ini untuk berkerja dan berniaga berkata kepada saya. di negara ini nilai RM1 sangat rendah nilainya. rakyat di negara ini tidak akan menawarkan harga apa pun barang yang berharga RM1. jadi dia telah membina kekayaannya di negara asalnya dengan nilai RM1 di tangan rakyat malaysia. pastinya RM1 pada dia bernilai hampir 3 ribu matawang negaranya.
    sesautu yang perlu kita renungkan.

  9. beela says:

    hebat & berani betul makcik tu!