Archive for May, 2009

ZAMBRY MB PERAK YANG SAH-ADAKAH PR HORMATI KEDAULATAN UNDANG-UNDANG?

Friday, May 22nd, 2009

Petang tadi, Panel 3 Hakim Mahkamah Rayuan Putrajaya membuat keputusan sebulat suara(maknanya 3-0) memihak kepada rayuan Dato Seri Dr. Zambry Abd Kadir untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 11 Mei 2009 lalu yang mengesahkan Dato Seri Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar Perak yang sah. Sehubungan keputusan Mahkamah Rayuan ini bermakna Zambry merupakan Menteri Besar Perak yang SAH dan semua pihak wajar menghormati keputusan yang di buat mengikut lunas-lunas Perundangan serta Perlembagaan tersebut.

Persoalannya mampukah pemimpin serta penyokong PR menerima keputusan Panel 3 Hakim Mahkamah Rayuan tersebut dengan hati terbuka ? Adakah PR akan kembali memainkan lagu lama kegemaran mereka iaitu menuduh Hakim berat sebelah setiap-kali keputusan penghakiman tidak berpihak kepada mereka? Amatlah malang andaikata pihak tertentu dalam PR tidak menghormati kedaulatan undang-undang dan cuba mengapi-apikan penyokong mereka melalui ceramah- ceramah umum agar timbul persepsi bahwa Nizar di-aniaya atau dizalimi oleh BN melalui penghakiman Mahkamah Rayuan tersebut.

Kepada Zambry, rakan-rakan EXCO serta Wakil-Wakil Rakyat BN , ini bukan masa untuk bergembira-sakan atau mendabik dada menunjukkan keangkuhan, malah berakhirnya episod ini buat sementara waktu sewajarnya menyuntik keinsafan bahwa laluan dihadapan masih penuh onak dan duri cabaran. Oleh itu tunjukkan keikhlasan berkhidmat sungguh-sungguh untuk rakyat Perak yang sudah bosan dengan kemelut yang melanda negeri tersebut sekian lama. Rangka dan laksanakan program yang benar-benar mampu mensejahterakan rakyat tanpa mengira kaum, agama serta sempadan daerah. Sentiasalah berdamping dengan rakyat dan jadilah pemimpin yang mampu menyelami permasaalahan rakyat serta mampu menyelesaikan masaalah tersebut sesegera mungkin.

Pada masa yang sama, teruslah setia kebawah DYMM Tuanku Sultan Perak dan dari semasa ke semasa mohonlah bimbingan serta nasihat dari Baginda tentang perkara-perkara tertentu yang ingin dilaksanakan atau dalam menyelesaikan sebarang permasaalahan yang dilihat terlalu sensitif.

Kepada Rakyat Perak, bersatu padulah dan sokonglah Kerajaan Semasa “Government of The Day’. Cukup-cukup lah dengan aktiviti politiking yang tidak berkesudahan. Ini adalah masa untuk membangunkan Negeri serta Rakyat agar terus sejahtera seperti negeri-negeri lain di Malaysia.
Sabah mengalami pengalaman pahit tertinggal 10 tahun dari segi pembangunan di banding Sarawak akibat ketidak-stabilan iklim politik serta kerap bertukar-tukar kerajaan dalam sekitar tahun 1976-1992. Dan amatlah menyedihkan andaikata trajedi Sabah berulang kembali di Bumi Perak yang bertuah.

PAS PUN 2×5

Saturday, May 16th, 2009

Musim lobi-melobi jawatan sempena pemilihan pucuk pimpinan PAS di Muktamar yang akan datang menampakkan wajah ’sebenar’ pemimpin PAS yang mendakwa parti mereka adalah parti ‘HIZBULLAH’ kononnya. Pelbagai cerita tentang perlakuan rasuah politik dikhabarkan bukan oleh orang luar bahkan oleh orang parti itu sendiri termasuk lah pendedahan yang di buat oleh Ketua Dewan Ulama PAS Ustaz Mohammad Daud Iraqi.

Pelbagai cara di gunakan oleh calon-calon yang bertanding untuk meraih sokongan dari perwakilan parti di peringkat bahagian dengan memberi ‘Hadiah’ yang sebenarnya adalah merupakan sebahagian gejala politik wang. Entah esok lusa akan di keluarkan pula fatwa bahwa apa yang diberikan oleh calon secara langsung maupun melalui agen-agen bukanlah rasuah tapi merupakan ’sedekah’ yang di tuntut agama.

Adalah tidak mengherankan apabila gejala politik wang sudah lebih ketara dalam PAS akibat dari perlumbaan untuk menduduki jawatan strategik dalam parti yang mereka yakini akan mampu membentuk Kerajaan Persekutuan dalam PRU13. Selain itu, kebanyakan yang bertanding pula merupakan mereka-mereka yang berjawatan sebagai MB, EXCO Negeri, Wakil Rakyat serta ahli-ahli korporat di negeri-negeri yang di perintah Pakatan Rakyat, dan sudah pasti mereka mampu untuk memberi lebih dari setakat air liur semata-mata.

Bezanya dalam PAS, gejala Politik Wang berjaya ditutup oleh konspirasi ‘Arahan Tutup Mulut’ oleh hiraki pimpinan Parti atas alasan tidak mahu membuka ‘Pekung Di Dada’. Rasuah politik ini juga menampilkan sikap ‘Munafik’ atau ‘Hypocrite’ parti PAS dalam isu Politik Wang dengan membesarkan kes politik wang dalam pemilihan UMNO yang lalu, tapi pada masa yang sama berusaha menyembunyikan hakikat bahwa mereka pun 2X5 dengan mana-mana parti politik yang terdapat di dunia.

Di Sabah , khususnya di Tawau, pelbagai kaedah politik wang di lakukan termasuk mengadakan atau menaja acara serta program dengan menghimpunkan perwakilan-perwakilan, yang sebenarnya adalah untuk meraih undi dalam pemilihan parti semata-mata. Hari ini sahaja didapati begitu ramai ahli-ahli PAS dari seluruh negara termasuk perwakilan bahagian yang mendapat ‘hadiah’ berhimpun jauh di negeri di bawah bayu, khasnya di Tawau Bumi Peladang. Kononnya atas nama perhimpunan Penggerak-pengerak PASTI, satu acara Hari Guru di adakan di sebuah hotel di Bandar Tawau, dimana lebih 70 bilik telah ditempah kononnya atas tajaan pihak-pihak tertentu.

Kebetulan pula yang turut hadir memeriahkan acara PAS di Tawau hari ini termasuklah calon-calon Naib Presiden seperti YB Salahuddin Ayub, YB Mahfuz Omar serta calon Ahli Jawatankuasa Kerja Ustaz Abu Bakar Chik !

ROMBAKAN KABINET NEGERI SABAH

Wednesday, May 13th, 2009

Selepas mesyuarat kabinet negeri Sabah petang tadi, YAB Datuk Seri Musa Aman, Ketua Menteri Sabah telah mengumumkan rombakan kecil kabinet negeri Sabah.

Rombakan kabinet ini diadakan sebagai lanjutan kemasukan Datuk Raymond Tan, mantan Timbalan Ketua Menteri Sabah menyertai Parti Gerakan, selepas meninggalkan SAPP dan menjadi ADUN bebas selama 8 bulan. Jawatan Timbalan Ketua Menteri Sabah bagi kuota Cina kini disandang Datuk Peter Pang, Naib Presiden parti LDP,yang akan terus mengekalkan jawatan Menteri Belia Dan Sukan Negeri Sabah. Selain itu, LDP juga mendapat tambahan jawatan Pembantu Menteri apabila ADUN kawasan Merotai Pang Yuk Min di lantik Pembantu Menteri Kementerian Pembangunan Infrastruktur.

Walaupun kehilangan jawatan Timbalan Ketua Menteri, Datuk Raymond Tan masih kekal dalam kabinet Sabah sebagai Menteri Pembangunan Perindustrian bagi menggantikan Datuk Ewon Ebin(UPKO) yang berpindah kementerian Pembangunan Luar Bandar. Jawatan Menteri Pembangunan Infrastruktur pula kini di pegang Timbalan Ketua Menteri Kuota Bumi Bukan Islam,iaitu Datuk Seri Panglima Joseph Pairin Kitingan(PBS).

Sementara itu, beberapa perubahan portfolio jawatan pembantu Menteri juga berkuat-kuasa mulai hari ini melibatkan Donald Mojuntin(UPKO) yang berpindah dari kementerian Pembangunan Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat ke jawatan baru selaku Pembantu Menteri Kewangan 2, Datuk Jainab(UMNO) berpindah dari Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian ke Pembantu Menteri Pembangunan Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat manakala Datuk SP Micheal Asang(PBS) yang sebelum ini memegang jawatan Pembantu Menteri Pembangunan Infrastruktur berpindah kejawatan baru sebagai Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian . Jawatan-jawatan lain samada Menteri maupun Pembantu Menteri masih kekal dengan penyandang yang sedia ada.

Dengan selesainya rombakan kecil kabinet negeri Sabah hari ini, maka berakhirlah semua spekulasi serta teka-teki yang melanda negeri Sabah sejak keluarnya parti SAPP pimpinan Yong Teck Lee dari BN pada bulan Ogos 2008, akibat terpedaya dengan impian 16 SEPTEMBER yang dicanang-canang Pakatan Rakyat dan Anwar Ibrahim.

Semoga kabinet negeri Sabah akan meneruskan segala perancangan baik yang telah di atur untuk membangunkan Sabah serta mensejahterakan rakyat tanpa sebarang gangguan akibat ketidak-tentuan iklim politik yang amat tidak diperlukan.

ZAMBRY ATAU NIZAR?

Tuesday, May 12th, 2009

Kedudukan siapa Menteri Besar Perak ibarat permainan Yo-Yo, sekejap Nizar diatas,kemudian Zambry pula diatas. Semalam Mahkamah Tinggi(Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas) mengistiharkan Nizar masih lagi Menteri Besar yang sah dan mula kembali masuk pejabat Menteri Besar Perak pagi ini. Namun menjelang awal petang selasa hari ini, Mahkamah Rayuan pula menerima permohonan Zambry untuk tangguhkan keputusan pengesahan Nizar sebagai Menteri Besar. Maknanya Zambry akan kekal sebagai Menteri Besar sehingga proses rayuan beliau selesai.
Yang menarik dalam kes yang akan menjadi ‘Landmark Case’ serta bakal rujukan masadepan bagi pengamal dalam Undang-Undang Perlembagaan adalah cara penerimaan mereka yang terlibat serta penyokong masing-masing. Apabila Nizar disahkan masih Menteri Besar yang sah untuk Perak, maka bergembiralah para penyokong Pakatan Rakyat dengan gelagat-gelagat tersendiri mereka, manakala penyokong BN pula menerima keputusan Mahkamah Tinggi tersebut dengan hati terbuka sebagai menghormati prinsip kedaulatan undang-undang.Tidak nampak pula walau seorang pun penyokong BN yang merusuh atau baring di tengah jalan bagi menghalang laluan kereta Hakim Mahkamah Tinggi yang membuat keputusan penghakiman yang tidak berpihak kepada Zambry atau BN.
Demikian juga adalah diharapkan agar semua rakyat Malaysia sentiasa bertenang dalam menerima apa juga keputusan Mahkamah berkenaan sebarang kes yang ada hubungan dengan politik atau orang politik bagi memastikan kedaulatan undang-undang terus dipertahankan dan negara Malaysia akan terus aman dan tenteram.

NAJIB CONTOH PEMIMPIN YANG CAKAP SERUPA BIKIN

Wednesday, May 6th, 2009

Saya baru selesai menghadiri kenduri tahlil arwah ayah kepada sahabat saya yang kebetulan tinggal berjiran sebelah pagar. Semasa minum-minum teh tarik selepas makan malam, kami sembang-sembang tentang isu semasa yang berlaku di seluruh negara. Salah seorang yang turut hadir dalam majlis tersebut adalah mantan pegawai tinggi kerajaan Sabah yang sudah pun pencen tapi masih memegang jawatan sebagai Pengerusi serta Ahli Lembaga Pengarah beberapa Badan Berkanun dan GLC Negeri Sabah. Dia menyatakan kekagumannya terhadap penampilan serta cara YAB Dato Najib dalam menyampaikan ucapan. Tambahnya lagi, setiap kali mendengar Dato Najib berucap, dia tidak pernah merasa jemu malah seakan-akan mahu terus mendengar ucapan yang lebih panjang. Begitu lah hebatnya Dato Najib, yang bukan sahaja ucapannya penuh berisi bahkan disampaikan dengan penuh karisma, gaya bersahaja,mampu menaikkkan semangat pendengar dan sekali-sekala di selangi jenaka yang membuat para pendengar tertawa terbahak-bahak.
Semasa berucap di hadapan lebih 15,000 rakyat Sabah yang berhimpun di Padang Merdeka, Kota Kinabalu pada 5hb Mei 2009 , YAB Dato Najib sekali lagi berjaya memukau rakyat pelbagai suku-kaum, agama serta adat-resam, dengan ucapan yang sungguh berani dan memberangsangkan. Antara sedutan ucapan beliau yang menarik adalah seperti di bawah:
“Rakyat di dahulukan dan Pencapaian di utamakan bermakna pemimpin serta wakil rakyat mesti benar-benar berkhidmat sebaik mungkin untuk rakyat,jadi hamba kepada rakyat. Pemimpin mesti turun padang mendengar masaalah rakyat dan berusaha menyelesaikan masaalah yang di hadapi oleh rakyat secepat yang mungkin. Dengan cara ini maka sudah pasti pemimpin akan sentiasa berada di hati rakyat”
“Tak payah tunggu jemputan sebagai wakil rakyat untuk turun padang berjumpa rakyat, tak payah diundang, tak perlu ada bunga manggar, tidak payah hamparan permaidani merah, tak payah tunggu jurukamera televisyen ada, tak payah protokol-protokol atau rasmi-rasmi”
“Ada banyak bezanya kalau kita diberi taklimat dalam bilik berhawa dingin,duduk dikerusi empuk, tapi kalau kita turun padang tengok masaalah yang ditanggung rakyat dengan mata-kepala kita sendiri, kita hidu baunya maka barulah kita tahu apa masaalah rakyat yang sebenarnya. Inilah stail yang saya mahu dari semua pemimpin-pemimpin BN”,
“Kalau Perdana Menteri boleh buat, menteri-menteri tak boleh buat kah? Wakil-wakil rakyat tak boleh buat kah?”
“Saya mahu pemimpin menjadi orang yang disayangi dan dihormati oleh rakyat dan bukannya jadi pemimpin yang ditakuti oleh rakyat. Pemimpin yang ditakuti rakyat apabila kelak tidak punya jawatan akan dikutuk oleh rakyat”
Demikianlah antara sedutan ucapan YAB Dato Najib yang mendapat sorakan serta sokongan hebat dari rakyat Negeri DiBawah Bayu. Yang menarik selepas sahaja perhimpunan bersama rakyat tersebut, YAB Perdana Menteri telah mengambil masa kira-kira setengah jam mengunjungi rumah Arwah Usahawan Sabah disebelah rumah saya tanpa notis dan turut bersama menunaikan solat jenazah(program ziarah ini tidak termasuk dalam aturcara rasmi lawatan PM). Selepas solat jenazah YAB Dato Najib terus barsalam-salaman mesra dengan semua yang hadir termasuk beberapa orang teman-teman dari bangsa Tionghua (rakan-rakan perniagaan arwah mungkin) yang nampak terpinga-pinga tapi gembira kerana dapat peluang bermesra dengan Pemimpin Nombor Satu Negara yang begitu ‘Humble’ serta mesra-rakyat.
Selepas itu, YAB Dato Najib meneruskan acara turun padangnya dengan program ‘Walk-about” atau ‘Tinjauan Mesra’ ke pasar kraftangan Kota Kinabalu dan beberapa tempat awam yang lain, sambil meneliti keperluan serta masaalah yang di hadapi oleh peniaga serta penjaja yang menjalankan perniagaan di kawasan tersebut.
Inilah pendekatan Perdana Menteri Malaysia ke-6 yang sudah pasti akan mampu memenangi serta menawan hati seluruh rakyat Malaysia.

PERTEMBUNGAN FRAKSI:ULAMA Vs ERDOGAN

Tuesday, May 5th, 2009

Muktamar PAS yang akan diadakan tidak berapa lama lagi berjaya menarik perhatian bukan sahaja dari kalangan jemaahnya bahkan dari ramai non-partisan dari luar parti tersebut. Yang menjadi debaran kepada ahli-ahli parti yang menjadikan Islam sebagai Tunjang perjuangan itu adalah siapa gerangan bakal menggalas kepercayaan ahli-ahli parti untuk meneruskan Amanah menegakkan Negara Islam di bumi Malaysia.
Lebih menarik pemilihan kali ini menyaksikan pertembungan antara golongan Ulama dan golongan Professional bukan Ulama (ERDOGAN) yang cuba menagih simpati ahli-ahli Pas dalam meneruskan Agenda Parti mengikut ‘kaedah’ serta ‘pendekatan’ yang berbeza. Golongan Ulama yang kini menguasai kedua-dua jawatan tertinggi parti tersebut iaitu Ustaz Abdul Hadi Awang sebagai Presiden dan Ustaz Nasaruddin sebagai Timbalan Presiden di jangka bakal menghadapi saingan sengit dari Golongan Erdogan yang ‘di nakhodai’ oleh Husam Musa dan rakan-rakannya.
Bagi Golongan Ulama, asas perjuangan menegakkan Kerajaan Islam yang mereka impikan tidak bermakna harus mengkompromi prinsip serta dasar keislaman demi mendapatkan secebis ‘kuasa’. Kejayaan sebenar bukannya dalam mendirikan kerajaan bahkan yang di dambakan adalah ‘keredhaan Allah’ semata-mata. Kalau tidak berjaya di dunia namun istiqamah dalam perjuangan, maka kejayaan di Akhirat dan keredhaan Allah swt menjadi matlamat utama.
Sementara itu, Golongan Erdogan pula membawa pendekatan berbeza. Bagi mereka yang menjadi keutamaan adalah mendapatkan ‘kuasa’ walau dengan apa cara sekali pun. Dengan kuasa berada di tangan baru lah agenda islamisasi serta menegakkan ‘daulah islamiyah’ akan menjadi lebih bermakna serta mudah di jadikan realiti. Agenda ‘Matlamat Menghalalkan Cara’ Golongan Erdogan ini menyebabkan seringkali prinsip perjuangan Pas menjadi haru-biru dan menjadi bahan jenaka saingan politik lain. Sebagai contoh kalau dahulu, pakatan antara UMNO dengan MCA, MIC menyebabkan UMNO di tuduh sebagai parti ‘kafir’ dan akibatnya sembelihan orang UMNO tidak halal di makan, namun kini dalam keserabutan mengejar kuasa, pakatan PAS dengan DAP di anggap ‘harus’ serta ‘halal’ walaupun DAP terang-terangan menentang pembentukan Negara Islam serta HUDUD yang selama ini menjadi asas utama perjuangan Jemaah PAS.
Setiap hari ada sahaja kenyataan akhbar oleh wakil-wakil kedua-dua kelompok tersebut di siarkan oleh media arus perdana atau media alternatif, yang menunjukkan bahwa pertembungan antara dua kelompok tersebut tidak dapat dielakkan. Tambahan pula terdapat khabar-khabar angin yang mengatakan bahwa wujudnya ‘personaliti politik’ dari luar PAS yang cuba-cuba masuk campur secara halus untuk menguasai PAS melalui proksi dan kroni yang di pasang dalam pertembungan kepimpinan parti Islam tertua di Malaysia.