Beberapa hari ini, isu pertembungan sengit kelompok Ulamak vs Erdogan dalam Muktamar PAS Ke-13 menjadi bualan ramai. Yang menarik dan melucukan ,UMNO menjadi faktor utama dalam menentukan samada Ustaz Nasaruddin atau Husam yang akan memenangi undi perwakilan yang hadir bagi jawatan kedua tertinggi PAS, Timbalan Presiden parti.
Walau siapa pun yang menang, tidak dapat dinafikan lagi bahwa PAS mempunyai peluang yang sangat besar untuk memenangi lebih banyak kerusi dalam PRU13 yang akan datang atas sokongan yang terus meningkat dari masyarakat bukan islam yang semakin jinak kepada ‘wajah baru’ parti berhaluan islam yang tertua di Malaysia. Sudah tiba masanya PAS bukan setakat menjadi ‘penumpang’ dalam kerajaan PR tetapi seperti yang di laung-laungkan Presiden PAS TGHH, PAS mampu ‘menakhoda’ kerajaan persekutuan yang menjadi impian di masa akan datang. Dan apabila impian tersebut menjadi kenyataan, mampu kah PAS menterjemah ‘Agenda Utama’ serta ‘Intipati’ Dasar parti yang diperjuangkan selama ini tanpa perlu berlapik dengan jenama-jenama seperti ‘Kerajaan Berkebajikan’, ‘Siasah Li Ta’arafu’, atau jenama sewaktu dengannya?
Gambaran realiti sebenar apa yang bakal berlaku di masa hadapan apabila PR berkuasa di peringkat pusat boleh di lihat dengan pergeseran sesama sendiri antara PKR, DAP dan PAS di Negeri-Negeri di kuasai PR sekarang samada di Selangor, Kedah,Perak(semasa dalam PR) dan yang terkini pergeseran antara PKR dan DAP mengenai isu Presiden Majlis Perbandaran Seberang Perai di Pulau Pinang.
Bersediakah Anwar Ibrahim PKR atau Lim Kit Siang DAP untuk menerima Perdana Menteri dari PAS dan mereka setakat menjawat Timbalan Perdana Menteri untuk kuota bumiputera dan Bukan-Bumiputera serta jawatan Menteri yang lainnya. Mungkin Karpal yang pernah berkata ‘langkah mayat saya sebelum PAS boleh memartabatkan HUDUD di Malaysia’ tidak hidup selama-lamanya untuk terus menjadi Trauma kepada PAS, namun apakah ada jaminan tidak akan wujud lebih ramai lagi Karpal Singh dalam DAP yang sememangnya sebuah parti yang di dominasi sentimen bukan bumiputera yang ingin merubah ‘Lanskap Politik ‘ Tanah Melayu menjadi seperti Singapura selama-lamanya.
Hanya masa dan kewarasan akal-budi masing-masing yang mampu menentukan apa halatuju Malaysia yang kita inginkan….