Setelah 18 hari mengadakan Protes dan Tunjuk Perasaan, puluhan juta rakyat Mesir malam tadi menyambut dengan penuh kegembiraan keputusan Hosni Mubarak meletak jawatan sebagai Presiden Mesir. Pengumuman perletakan jawatan Mubarak yang memerintah Mesir selama 30-tahun itu dibuat oleh Naib Presiden Mesir,Omar Suleiman melalui siaran TV Mesir. Sehubungan itu, kerajaan Mesir dalam tempoh peralihan ini akan ditadbir oleh Majlis Tertinggi Angkatan Bersenjata dibawah pimpinan Mantan Menteri Pertahanan Mesir, Tantawi. Majlis Jeneral-Jeneral tentera ini telah berikrar untuk memastikan keamanan dalam tempoh peralihan kerajaan dan akan menghormati aspirasi serta ‘kehendak’ rakyat Mesir kearah Transformasi Kerajaan yang lebih Demokratik.
Dunia sedang menanti, bagaimanakah bentuk Kerajaan baru Mesir yang bakal muncul di Bumi Arab-Afrika ini ? Apakah Demokrasi akan benar-benar diamalkan seperti yang diamalkan dinegara-negara lain? Apakah pula peranan yang akan dimainkan oleh Ikhwan Muslimin, parti pembangkang yang paling tersusun serta vokal dalam menentang pemerintahan ‘kuku-besi’ Hosni Mubarak selama 30- tahun? Apakah akan berlaku perubahan drastik dasar luar negara Mesir terutama sekali hubungan dengan negara penjenayah ‘Israel’? Hanya masa dan Rakyat Mesir akan menentukan….
Sementara itu dilaporkan bahwa mantan-Presiden Hosni Mubarak dan seluruh ahli-keluarganya telah pun meninggalkan Istana Presiden Kaherah menuju destinasi yang tidak diketahui.
Medan Tahrir menyaksikan peristiwa yang sangat bersejarah sejak 25 Januari 2011 apabila ratusan ribu rakyat Kaherah bangkit menzahirkan laungan Pro-Demokrasi sambil mendesak Presiden Mesir meletak jawatan dengan segera. Suara massa tersebut dituruti dan disambut oleh jutaan rakyat Mesir lainnya dibandar-bandar utama Mesir menyebabkan keadaan menjadi huru-hara dan ekonomi Mesir menjadi lumpuh. Negara yang terkenal dengan Khazanah Silam Piramid Giza sebagai objek pelancongan bertaraf dunia kini menjadi Destinasi “No Go” ,malahan ratusan ribu rakyat asing berlumba-lumba untuk keluar dari negara yang hampir mencecah status anarki . Perarakan serta perhimpunan 1 Juta rakyat Pro-Demokrasi yang sepatutnya berlangsung secara aman bertukar menjadi pertempuran sengit apabila kumpulan Pro-Mubarak melakukan provokasi dengan melakukan serangan lontaran batu serta bom molotov. Sejak tunjuk-perasaan bermula 25 Januari 2011, lebih 100 nyawa dilaporkan telah terkorban, dan angka kecederaan mencecah ribuan orang.
Muhammad Hosni Sayyed Mubarak pertama kali dilantik menjadi Presiden Republik Arab Mesir pada 14 Oktober 1981 menggantikan Anwar Saddat yg dibunuh oleh seorang pengawal tentera Mesir. Selama hampir 30 tahun beliau memerintah Mesir dengan bernaung dibawah sistem Undang-Undang Darurat (Undang-Undang no:162 /1958) yg dikuat-kuasakan sejak 1967. Dibawah Undang-Undang tersebut, Mubarak diberi kuasa sepenuhnya oleh Parlimen Mesir untuk mentadbir Negara berpenduduk hampir 77 juta orang tersebut mengikut lunas-lunas yang tidak demokratik. Mubarak dilantik semula sebagai Presiden Mesir pada tahun 1987,1993,1999 dan 2005, melalui sistem pemilihan yang mengabaikan hak-hak asasi rakyat untuk memilih pemimpin yang mereka inginkan. Dibawah pentadbiran kuku-besi beliau, penentang politiknya diberi tekanan berterusan, malahan ramai yang ditahan tanpa perbicaraan selama bertahun-tahun . Sehingga kini dilaporkan jumlah tahanan politik diMesir mencecah jumlah lebih 30,000 orang, satu jumlah yang agak besar hanya kerana tidak sehaluan dengan politik Mubarak. Antara alasan yang beliau berikan untuk tidak mengadakan Pilihanraya secara Demokrasi di Mesir adalah untuk mengelakkan Ikhwanul-Muslimin yang popular dikalangan rakyat Mesir (94% beragama Islam) dari memenangi Pilihanraya dan mengambil-alih Kerajaan. Seandainya, Ikhwan Muslimin menjadi kerajaan, sudah pasti sekutu utama Mubarak, iaitu Amerika Syarikat akan merasa kepanasan, kerana tidak lagi berupaya merencana Dasar Luar Mesir untuk menjadi pro-Israel!
Kegelisahan rakyat bertambah parah apabila kegiatan penyalah-gunaan kuasa oleh Kerajaan Presiden Hosni Mubarak berterusan dari semasa kesemasa dan amalan korupsi berleluasa . Kabinet Mubarak dikuasai oleh Jeneral-Jeneral dan Tokoh-Tokoh Korporat yang memperkenalkan dasar serta polisi yang tidak menyebelahi suara rakyat. Pada masa yang sama, Mubarak dilihat seakan-akan mempromosikan anak lelakinya untuk mengambil-alih kepimpinan Partinya dan Mesir dimasa akan datang.
Tersepit tekanan luarbiasa oleh rakyat yang begitu lama memendam kemarahan serta ketidak-puasan hati mereka, ditambah pula desakan kuat dari negara-negara sekutunya termasuk Amerika Syarikat, Presiden Hosni Mubarak akhirnya membuat kenyataan tidak akan mencalonkan dirinya semula pada Pemilihan Presiden bulan Oktober 2011 yang akan datang serta berjanji melakukan Transformasi Politik serta Parlimen dalam masa yang terdekat. Namun kenyataan konsesi Mubarak tersebut ditolak oleh lawan politiknya yang menganggap kenyataan tersebut terlalu sedikit dan terlalu lambat. Yang mereka inginkan adalah , Hosni Mubarak serta kerajaannya mesti berundur serta-merta dan Pilihanraya secara adil dan demokrasi diadakan di Mesir untuk memilih kepimpinan yang bakal menerajui Negara Bumi Anbiya tersebut.
Kini Dunia memerhati dengan cemas kesudahan Episod Pertembungan rakyat Mesir Pro-Demokrasi dengan kelompok rakyat Mesir yang Pro-Mubarak termasuk Agensi Keselamatan Mubarak yang didakwa menyamar sebagai orang awam untuk meleraikan Demonstrasi Aman anti-Mubarak di seluruh Mesir. Kesan krisis tersebut bukan sahaja dirasai rakyat Mesir akibat lumpuhnya ekonomi negara, kerosakan harta-benda dan kehilangan nyawa berharga, bahkan kesan kebangkitan Rakyat terhadap Pemerintahan Sistem ‘Kuku Besi’ yang anti-demokrasi kini merebak kenegara-negara Timur Tengah lainnya yang ditadbir dengan sistem serupa. Apa pun kesudahan krisis di Mesir dan negara-negara Timur Tengah lainnya sudah pasti memberi kesan terhadap hubungan mereka terhadap Amerika Syarikat serta sekutu Barat yang lain, apatah lagi terhadap Negara ‘musuh tradisi’ Arab yakni Israel yang selama ini mengecapi nikmat hubungan baik dengan Rejim-Rejim Arab yang dicucuk hidung oleh Amerika Syarikat.
Dalam era Facebook, Tweeter,SMS dan kemudahan Teknologi Maklumat hari ini, tidak ada satu kerajaan pun mampu membelakangkan kepentingan suara rakyat dalam mentadbir sesebuah negara. Keresahan hati rakyat yang dinafikan hak untuk menterjemahkan ‘suara hati’ mereka dikotak undi akhirnya akan terhimpun menjadi ‘Bom Jangka’ dengan bantuan Teknologi Maya ,meletus menjadi ancaman yang menggerunkan serta mampu meruntuhkan kerajaan yang arrogan, tidak mendahulukan rakyat serta penuh kepincangan. Semoga peristiwa bersejarah di Medan Tahrir menjadi iktibar kepada negara-negara lain termasuk negara tercinta Malaysia , yang kini berada dilandasan betul dengan slogan ‘ 1 Malaysia,Rakyat diDahulukan, Pencapaian DiUtamakan’.
Semakin hari semakin ramai pemimpin-pemimpin PKR yang meninggalkan perjuangan parti tersebut dan menyertai semula parti BN. Dalam Program Juara Rakyat di Kg Apas baru-baru ini, Eddy Berhan Ruslan ,timbalan Ketua Cabang PKR Tawau telah mengistiharkan keluar parti tersebut dan menyertai UMNO. Beliau merupakan calon PKR semasa PRU12 dalam Parlimen Tawau yang tewas kepada calon BN Chua Soon Bui (kini BEBAS).
Sebelum itu, beberapa orang kuat PKR Tawau telah terlebih dahulu meninggalkan parti tersebut, termasuklah AJK Cabang PKR Datu Lokman Datu Shabudin, Minggu Beruyut dan rakan-rakan lain yang telah menyertai UMNO. Keputusan mereka meninggalkan PKR adalah kerana keinsafan dan kesedaran diri masing-masing tanpa ada unsur paksaan atau imbuhan yang diterima.
Menurut sumber dalaman PKR cabang Tawau, kepimpinan Datuk Kong Hong Ming nampaknya gagal meningkatkan sokongan terhadap parti tersebut, malah ramai pula yang berhasrat mengikuti jejak langkah yang diambil oleh Eddy, Datu Lokman dan Minggu Beruyut untuk keluar dari perjuangan sia-sia PKR . Kemelut yang berlaku telah menyebabkan Pimpinan PKR negeri Sabah menjadi ‘pening kepala’ dan kehilangan punca dalam meraih sokongan Bumiputera Islam yang nampaknya menolak mentah-mentah parti tersebut.
Dilema yang dihadapi oleh PKR Tawau adalah ‘rapuhnya’ sokongan Bumiputera Islam terhadap parti tersebut, dan pada masa yang sama sokongan masyarakat Cina pula lebih tertumpu kepada parti berlandaskan perkauman Cina, DAP dan SAPP. Kalau senario ini berterusan, nampaknya peluang PKR untuk menjustifikasi permintaan Kerusi kawasan dalam PRU13 akan bertambah kalut.
Tahniah DAP atas kemenangan tipis dengan majoriti 398 undi yang diperolehi calonnya Wong Ho Leng(18,845) menewaskan calon BN dari SUPP Robert Lau Hui Yew(18,447) dalam PRK Sibu pada 16Mei 2010. Kalau ada pengajaran yang boleh dijadikan iktibar oleh BN dari keputusan PRK Sibu tersebut, ianya adalah hakikat bahwa majoriti kaum Cina dimana-mana pun di Malaysia adalah penyokong tegar Pakatan Rakyat, khususnya DAP. Hanya segelintir kecil sahaja kaum Cina yang masih berada dalam parti-parti komponen BN, itupun kerana mereka masih memegang jawatan dalam parti maupun dalam kerajaan.
Hakikat ini sebenarnya bukan rahsia ataupun sesuatu yang tidak diketahui oleh pimpinan tertinggi BN. Analisa serta post-mortem pasca PRU12 dan PRK Bukit Gantang,Bukit Selambau,Batang Air, Permatang Pauh,Bagan Pinang serta Hulu Selangor berkali-kali mengesahkan hakikat bahwa Pengundi Cina nekad berdiri teguh dibelakang PR walaupun pelbagai cara dilakukan oleh BN untuk menawan kembali hati sanubari mereka.
Hanya keajaiban sahaja yang mampu merubah kecenderungan pengundi kaum Cina dalam tempoh 2-3 tahun sebelum PRU13 yang akan datang. Mengikut senario sentimen dan kecenderungan semasa pengundi Cina, tidak mustahil semua calon-calon kaum Cina BN dari MCA,Gerakan,LDP,PBS,SUPP akan tewas sekiranya mereka bertanding dikawasan kerusi yang mempunyai peratusan pengundi Cina melebihi 60%, khususnya dikawasan bandar dan urban. Ini lah faktor utama yang menyebabkan SAPP keluar dari BN pada 2009, kerana Yong Teck Lee menyedari bahwa parti tersebut tidak sama-sekali mempunyai peluang untuk memenangi hatta SATU kerusi pun dikawasan majoriti pengundi Cina di Sabah andai terus kekal dalam BN!
Persoalannya, apa sebenarnya yang diingini oleh Kaum Cina di Malaysia yang mereka tidak perolehi selama BN memerintah Malaysia? Dari segi penguasaan ekonomi, tidak dapat dinafikan lagi kaum Cina lah yang sejak dahulu hingga sekarang mendapat manafaat dari segala dasar serta polisi Kerajaan BN sehingga mereka menguasai hampir 75% kekayaan dalam negara ini.Sehingga ada analogi dibuat iaitu sekiranya ada kuasa ajaib yang boleh melenyapkan segala bangunan serta hartanah milik kaum Cina di Bandaraya KL maupun dibandar-bandar besar di Malaysia dalam sekelip mata, maka yang akan tinggal adalah padang jarak padang tekukur!
Sebenarnya,perpecahan hebat orang Melayu dan Bumiputera Islam dewasa ini telah membuka ruang kepada aspirasi kaum Cina yang sebelum ini dipendamkan, iaitu untuk MERUBAH LANSKAP POLITIK MALAYSIA BUAT SELAMA-LAMANYA. Yang diingini oleh DAP serta dikongsi oleh majoriti kaum Cina yang lain adalah negara Malaysia yang TIDAK ada lagi PERBEZAAN HAK antara Kaum Pribumi dan kaum Cina atau India seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Dalam konsep ‘ Malaysian Malaysia’ yang diperjuangkan DAP selama ini, sebarang keistimewaan bangsa Melayu dan Bumiputera dan agama Islam akan diTIADAkan dan Malaysia akan muncul menjadi negara seperti Amerika Syarikat ataupun Singapura, dimana yang menjadi penentu adalah meritokrasi TOTAL tanpa mengambil kira keperluan serta sebarang keistimewaan kaum-kaum tertentu.
Parti Cina manapun tidak akan mampu mencapai aspirasi yang tersebut diatas secara bersendirian tanpa adanya sokongan parti Melayu dan Bumiputera itu sendiri. Kehadiran Anwar Ibrahim yang membelakangkan kepentingan orang Melayu serta Bumiputera Islam demi agenda peribadinya yang tersendiri telah menjadi umpama sinaran mentari pagi yang menyuburkan aspirasi DAP dan kaum Cina dinegara ini. Sementara itu, perpecahan orang Melayu dan Bumiputera Islam kepada UMNO dan PAS menyebabkan sedikit demi sedikit cita-cita serta aspirasi kaum Cina ini menjadi semakin hampir menemui kejayaan. Dalam pergelutan untuk berkuasa, UMNO dan PAS sudah pasti akan terpaksa berkompromi serta mengorbankan prinsip serta hak-hak yang mereka pertahan serta perjuangkan selama ini. Contoh yang jelas, PAS telah mengorbankan cita-citanya serta intipati perjuangannya selama ini untuk menubuhkan Kerajaan Islam di Malaysia semata-mata untuk menjaga hati sahabat karibnya DAP!
UMNO mempunyai kurang dari 3 tahun untuk mengejutkan rakan-rakan komponennya MCA dan Gerakan dari tidur atau lamunan yang mengasyikkan. Parti berasaskan Cina dari BN ini perlu turun keakar-umbi untuk berbincang ‘hati kehati’ kepada setiap taiko-taiko dan pimpinan akar-umbi Cina dan menyakinkan mereka bahwa amatlah penting mereka memahami sentimen orang Melayu serta Bumiputera dalam soal pokok yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, khususnya yang menyentuh hak keistimewaan Melayu serta Bumiputera Sabah/Sarawak, Agama Islam, Bahasa Melayu serta lain-lain kepentingan yang selama ini menjadi sebahagian dari perjanjian serta persefahaman tidak resmi kontrak sosial antara perintis kemerdekaan negara. Namun ,seperti dinyatakan sebelum ini, hanya keajaiban sahaja yang mampu merubah pendirian kaum Cina yang telah terpesona slogan ‘Malaysian Malaysia’ yang selama ini diperjuangkan DAP.
Maka satu-satunya alternatif yang boleh difikir serta direnungkan untuk memastikan ‘survival’ ummah adalah dengan pengukuhan kesatuan dan perpaduan orang Melayu dan Bumiputera. UMNO dan PAS mesti menghilangkan EGO masing-masing dan duduk semeja serta berbincang secara baik dan berkerjasama demi kebaikan ummah. Andai perpaduan ummah gagal dicapai, yang menjadi taruhan adalah hilangnya ’maruah’ serta ‘daulah’, dan kehilangan ini tidak mustahil menjadi igauan selama-lamanya….
Laut China Selatan dan Kepulauan Spratly telah mengalami tuntutan bertindih sejak sekian lama oleh beberapa buah negara. Antara negara tersebut termasuklah Malaysia, Brunei, China, Indonesia, Filipina,Taiwan dan Vietnam. Sebahagian dari negara-negara tersebut mengambil tindakan drastik termasuk menduduki pulau-pulau yang masih belum tentu pemiliknya sebagai satu strategi untuk memperkuatkan hujjah serta kes mereka sekiranya tuntutan-tuntutan tersebut perlu dibawa ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ). Malaysia juga menduduki 3 buah pulau (Terumbu) termasuk Terumbu Layang-Layang dan telah menambak sebahagiannya untuk didirikan Pusat Peranginan serta Penyelidikan. Komplikasi akibat tuntutan bertindih juga seringkali hampir mengakibatkan tercetusnya pertembungan dilaut antara angkatan bersenjata negara-negara terbabit, termasuk antara Malaysia dan Vietnam.
Kini kes yang hangat diperkatakan adalah penyerahan Blok L dan Blok M oleh Kerajaan Malaysia kepada Brunei bersempena dengan Pertukaran Surat (Exchange of Letter) yang ditanda-tangani oleh mantan Perdana Menteri Malaysia Tun Abdullah Badawi dan Sultan Brunei pada 16 Mac 2009. Isu ini menjadi perhatian umum apabila mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohammed dalam Blognya mendakwa bahwa Malaysia kehilangan US1 Billion apabila Blok L dan Blok M tersebut diserahkan kepada Brunei tanpa pengetahuan PETRONAS.
Pertelingkahan tuntutan bertindih atas wilayah maritim antara sempadan Malaysia dan Brunei sebenarnya telah pun wujud sejak berpuluh-puluh tahun yang lalu. Namun, penemuan telaga minyak laut dalam yang mempunyai rezab 700 juta tong dikawasan tuntutan bertindih Laut China Selatan telah meyebabkan kedua-dua negara berjiran Malaysia dan Brunei mengambil tindakan unilateral menganugerahkan kawasan ‘Emas Hitam’ tersebut kepada Syarikat Minyak pilihan masing-masing. Malaysia yang mendakwa kawasan yang dipanggil Blok L dan Blok M tersebut adalah termasuk dalam kawasan Zon Ekonomi Eksklusif(EEZ)nya telah melalui PETRONAS pada 2003 memberikan konsesi Kontrak Perkongsian Pengeluaran (PSC) kepada MURPHY OIL/ PetronasCarigali. Sementara itu, Brunei yang mendakwa kawasan tersebut termasuk dalam Zon Ekonomi Eksklusif(EEZ)nya telah menganugerahkan kawasan yang sama kepada dua buah konsortium iaitu Konsortium TOTAL/BHP BILLITON/HESS CORP untuk Blok CA1 dan Blok CA2 kepada Konsortium SHELL/MITSUBISHI/CONACO PHILLIPS. Akibat perselisihan tersebut, kedua negara bersetuju untuk MEMBERHENTIKAN aktiviti penggerudian di kawasan tersebut sehinggalah satu ketetapan yang dipersetujui kedua buah negara dapat dicapai.
Meneliti peta maritim kawasan tuntutan bertindih tersebut ternyata jelas menunjukkan Brunei memang lebih berhak keatas kawasan tersebut berdasarkan unjuran ‘Continental Shelf ‘ pantai negara tersebut dan kawasan Zon Ekonomi Eksklusif yang memanjang dari pantai sejauh 200 Batu Nautika. Sempadan Timur bagi kawasan laut yang didakwa Brunei sebagai miliknya adalah garis lurus mengunjur ke laut yang bermula dari hujung sempadan dengan Sabah manakala Sempadan Baratnya garis lurus mengunjur ke laut yang bermula dari hujung sempadan pantainya dengan Baram, Sarawak. Secara terperincinya, Sempadan Timur bagi kawasan Maritim milik Brunei melepasi 100 Fathom Isobath pada titik 5deg 13′ 52.2″ N 114deg 55’12″ E sehingga 8deg 15’13.8″N 111deg 56’16.2″E manakala Sempadan Baratnya melepasi 100 Fathom Isobath pada titik 5deg 2’00″N 113deg 46’00″E sehingga 7deg 35’19.2″N 111deg 5’30″E.
Ada lah wajar bagi Malaysia melepaskan tuntutan keatas kawasan Maritim yang mengandungi Blok L dan Blok M setelah mengambil kira data-data sempadan diatas serta perundangan International Maritime Organisation (IMO) dan International Hydro Graphy Organisation(IHO) kerana walau dibawa ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa pun,kemungkinan keputusannya menyebelahi Malaysia amatlah tipis. Apa yang berlaku adalah akan tercemar hubungan baik serta intim antara dua buah Negara serumpun akibat tindakan berkeras dan tidak bertolak-ansur sehingga terpaksa melibatkan pihak ketiga untuk menyelesaikan pertikaian.
Dengan tercapainya Pertukaran Surat antara Malaysia dan Brunei pada 16Mac 2009 bukan sahaja menyelesaikan tuntutan bertindih kawasan Maritim tersebut bahkan menyelesaikan juga beberapa pertikaian lain termasuk penentuan akhir Sempadan Darat yang secara otomatisnya akan menyebabkan gugurnya tuntutan Brunei terhadap wilayah Limbang, Sarawak.
Negeri Sabah sebenarnya tidak sama sekali terlibat atau tergadai kepentingannya akibat penyerahan Blok L dan Blok M oleh Malaysia kepada Brunei kerana kawasan maritim tersebut TIDAK PERNAH menjadi milik negeri Sabah. Malahan, dari segi kelayakan, Sarawak lah yang wajar menuntut kawasan maritim tersebut kerana unjuran ‘Continental Shelf ‘ Limbang juga bertindih dengan kawasan maritim yang diserahkan kepada Brunei! Perkara ini telahpun dijelaskan oleh Wisma Putra serta Pakar Perundangan Maritim Malaysia kepada Kepimpinan Negeri Sabah termasuk Jemaah Kabinet Negeri beberapa kali pada tahun 2009, atas permintaan YAB Datuk Seri Musa, Ketua Menteri Sabah yang prihatin akan kemungkinan terjejasnya kepentingan Negeri Sabah apabila Pertukaran Surat antara Malaysia dan Brunei menjadi kenyataan.
Apa yang pasti telaga-telaga minyak dan gas dalam perairan Sabah yang selama ini memberikan sumbangan kepada Royalti negeri Sabah masih dan akan terus beroperasi sehingga tamat tempoh hayat telaga-telaga tersebut.Penemuan-penemuan terbaru di perairan Sabah termasuk Telaga Gumusut/Kakap, Malikai,Jangas,Ubah Crest,Pisangan dan Kamunsu akan mula memberikan hasil pengeluaran pertamanya antara tahun 2011 dan 2015. Kesemua telaga tersebut adalah telaga Laut Dalam DI EEZ kawasan Perairan Sabah, dan akan menambah hasil royalti Minyak Laut Dalam perairan Sabah setelah Telaga Laut Dalam Kikeh dalam Blok K mengeluarkan hasil minyaknya pada Ogos 2007.
Atas dasar kejiranan dan semangat setia-kawan, sudah pasti Brunei menghargai tindakan Malaysia tidak memanjangkan isu tuntutan kawasan Blok L dan Blok M sehingga keperingkat ICJ dan sebagai bukti penghargaan tersebut Brunei telah menawarkan semula kepada PETRONAS untuk menjadi Pengendali Komersial bagi kerja-kerja Penggerudian serta Pengeluaran minyak dari Telaga Minyak Blok CA1 dan CA2.
Jelas, permuafakatan dimeja rundingan walaupun mengambil sedikit masa akhirnya menghasilkan keputusan Menang-Menang untuk kedua-dua buah Negara Jiran serumpun..
“Kita tidak ada pilihan lain dan akan pastikan sasaran mensifarkan 44,643 keluarga Miskin Tegar akan dapat dicapai menjelang Disember tahun ini”, demikian kenyataan penuh keyakinan yang dilontarkan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat semasa membentangkan Bidang Keberhasilan Utama Kementeriannya (MKRA) di Kota Kinabalu baru-baru ini. Program tersebut dihadiri oleh YAB Datuk Seri Musa Aman, Ketua Menteri Sabah, barisan MP serta ADUN-ADUN Sabah dan pegawai-pegawai kanan Kerajaan Negeri Sabah. Jumlah yang disebut oleh Datuk Shahrizat adalah jumlah keseluruhan Miskin Tegar di seluruh negara namun 34% darinya adalah disumbangkan oleh Miskin Tegar dari Negeri Sabah.
Memang Datuk Seri Shahrizat tidak punya pilihan kecuali memastikan peruntukan tambahan yang diperlukan sebanyak RM1.166 Billion akan diluluskan sesegera mungkin dan jentera penyampai jabatan-jabatan berkaitan akan benar-benar bertindak dengan cekap serta berkesan andaikata beliau tidak mahu dianggap gagal mencapai sasaran NKRA yang telah ditetapkan kepada setiap Menteri Persekutuan.
Sabah adalah negeri yang memiliki sumber kekayaan hasil bumi yang pelbagai termasuk Petroleum, Mineral, Kayu-kayan, Ladang Pertanian, Hasil Perikanan dan lain-lain. Namun disebabkan faktor ketidak-stabilan politik dimasa lampau termasuk kerapnya bertukar tampuk kerajaan dan sistem penggiliran ketua menteri telah menyebabkan kurangnya fokus kepada pembasmian insiden kemiskinan secara holistik dan berkesan. Akibatnya, walaupun Sabah merupakan negeri yang kaya sumber tetapi ironinya memiliki jumlah penduduk Miskin dan Miskin Tegar yang tertinggi di malaysia.
Kemiskinan Tegar sebenarnya telah lama wujud di Sabah termasuk dizaman USNO,BERJAYA, PBS hinggalah kezaman BN mengambil alih pentadbiran negeri pada tahun 1994. Namun sebelum 1994, istilah Miskin Tegar serta penggunaan Pendapatan Garis Kemiskinan berdasarkan ‘Household Income Survey’ sebagai penanda aras bagi mengkategorikan tahap kemiskinan rakyat di Sabah tidak diapplikasikan secara sistematik. Sehubungan itu, adalah tidak benar dakwaan mengatakan bahwa kemiskinan tegar di Sabah wujud dan meningkat semasa UMNO/BN mula memerintah negeri ini. Apa yang berlaku adalah atas inisiatif Kerajaan UMNO/BN untuk mensejahterakan rakyat lah maka bancian secara terperinci dilakukan diseluruh pelusuk negeri Sabah menggunakan kaedah ‘Household Income Survey’ . Bancian yang dilakukan oleh Kerajaan Persekutuan dengan bantuan Pejabat-Pejabat Daerah ini amat kritikal kerana data-base kemiskinan inilah nantinya akan digunakan bagi merancang dan melaksanakan program-program pembasmian kemiskinan di negeri ini.
Berdasarkan Kajian Separuh Penggal RMK9, Kadar Kemiskinan di negeri Sabah sebenarnya telah berjaya diturunkan 7% dari angka 23% (2004) kepada 16% (2007) . Manakala angka Miskin Tegar pula telah dapat dikurangkan dari 6.5% (2004) kepada 3.7% (2007). Dalam tahun 2007, jumlah Miskin Tegar di Sabah adalah seramai 21,514 termasuk 13,802 Miskin Tegar Produktif dan 7,712 Miskin Tegar Tidak-Produktif. Bilangan Miskin Tegar ini berkurang kepada 16,403 pada tahun 2009 hasil pelbagai Program Pembasmian Kemiskinan yang dijalankan bersama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri. Dari jumlah tersebut 12,580 adalah Miskin Tegar Produktif manakala 3,823 adalah Miskin Tegar Tidak-Produktif.
Berdasarkan Senarai E-Kasih terkini,jumlah Miskin Tegar di Sabah adalah 15,293 termasuk lebih 2000 Miskin Tegar Tidak-Produktif. Untuk memastikan Sifar Miskin Tegar menjelang Disember 2010, kesemua 15,293 Miskin Tegar ini MESTI dilibatkan dengan salah-satu Program Pembasmian Kemiskinan dan mempastikan pendapatan bulanan mereka melepasi PGK Miskin Tegar RM540 bermula Januari 2011. Kerjasama erat antara agensi Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri sangatlah diperlukan agar tidak ada pertindihan tugas mau pun sasaran bagi mengelakkan pembaziran masa dan kewangan.
Kerajaan Sabah selama ini telah pun mengenal-pasti lokasi dan profil setiap Ketua Keluarga Miskin Tegar di negeri ini dan sudah tentu Kerajaan Negeri juga telah melaksanakan kajian tentang apakah rupa-bentuk program atau bantuan yang akan disalurkan kepada setiap Miskin Tegar tersebut untuk meningkatkan pendapatan dan mengeluarkan mereka dari Putaran Ganas Miskin Tegar. Tambahan peruntukan dari Kerajaan Persekutuan bolehlah terus disalurkan kepada Kerajaan Negeri bagi memastikan program dan bantuan yang sedia ada dapat diteruskan dan dipanjangkan lagi liputannya kepada Miskin Tegar yang belum terjangkau sebelumnya. Bagi Miskin Tegar yang Tidak-Produktif termasuk OKU dan Miskin Tegar berusia diatas 65 tahun, bantuan dalam bentuk elaun bulanan sebanyak RM540 wajar diberikan agar secara segera kumpulan ini akan terkeluar dari senarai Miskin Tegar tersebut.
Bagi Miskin Tegar Produktif , program berbentuk penyediaan pekerjaan, latihan kemahiran dan keusahawanan termasuk modal memulakan perniagaan, pemilikan saham dalam ladang-ladang rakyat yang boleh memberi dividen bulanan secara tetap, bantuan peralatan untuk menjana pendapatan seperti pemberian peralatan menangkap ikan dan sebagainya mestilah segera diagihkan dan dipantau sepenuhnya bagi memastikan keberkesanan setiap program tersebut. Sebagai contoh, di Daerah Tawau terdapat lebih kurang 404 Miskin Tegar dan kesemua mereka boleh dilibatkan sebagai pemilik saham maupun pekerja dalam Ladang Sawit PPRT Kalabakan seluas 4046 hektar yang diseliakan oleh Borneo Samudera. Dengan ini mereka akan mampu menjana pendapatan melebihi RM1000 sebulan sekali gus mensifarkan Miskin Tegar Daerah Tawau!
Saya baru balik dari melawat kawasan Hulu Selangor yang sedang dibanjiri ahli-ahli politik dari seluruh pelusuk negara. Secara tidak langsung kehadiran Pilihanraya Kecil merupakan satu rahmat kepada penduduk setempat dimana kehadiran sebegitu ramai pengunjung dalam seminggu dua ini menghasilkan limpahan ekonomi yang tidak dirasai dalam setahun dua. Bayangkan sewa rumah semi-detached satu tingkat yang kebiasaannya tidak lebih dari RM400/sebulan kini boleh mencecah RM4500 untuk tempoh dua minggu! Restoran serta warung-warung kopi pula terpaksa menambah pekerja untuk melayani selera pengunjung dan jentera-jentera parti politik yang sentiasa lapar 24 jam kerana terlalu bersungguh-sungguh bekerja untuk parti masing-masing.
Kehadiran PRK Hulu Selangor juga memberi peluang kepada warga pengundi Parlimen Hulu Selangor untuk memperbetulkan kesilapan ‘teknikal’ PRU12 tahun 2008 dimana PKR telah dapat menawan kawasan Parlimen tersebut dengan majoriti tipis tidak sampai pun 200 undi walaupun Ketiga-tiga kawasan DUN di Parlimen tersebut milik BN dengan jumlah majoriti melebihi 5000. Dalam tinjauan awal melawat beberapa rumah penduduk di Taman Rajawali , Kalumpang , didapati rata-rata mereka mengaku tersilap mengundi calon PKR bukan untuk menjatuhkan BN tetapi sebagai undi protes terhadap pencalonan Palanivel sebagai Calon BN dalam PRU12 tahun 2008 tersebut. PRK ini merupakan peluang terbaik untuk mereka ‘memperbetulkan’ kesilapan lalu dan memastikan Hulu Selangor menjadi ‘Suntikan Keramat ‘ dalam perjuangan hebat mengembalikan Selangor kepangkuan BN semula.
Selama 2 tahun dibawah pentadbiran kerajaan PR Selangor sudah cukup untuk mematangkan rakyat Hulu Selangor seperti juga kawasan-kawasan lain dinegeri itu yang JANJI-JANJI MANIFESTO PR sebelum PRU12 adalah RETORIK semata-mata dan ‘indah khabar dari rupa’. Seorang anak muda yang saya temui baru sahaja melangsungkan perkahwinannya dan apabila ditanya adakah dia menerima sebarang bantuan dari kerajaan PR berupa pemberian khas untuk anak-anak muda yang mahu berkahwin seperti dalam Manifesto PR 2008, jawab anak muda tersebut “phuii! semua nya BOHONG Belaka!”, malahan adik beliau yang mendapat tempat di IPTA pun terpaksa berputih-mata kerana tidak menerima sebarang bantuan seperti janji Manifesto PR 2008 yang kononnya setiap anak Selangor yang berjaya ke Universiti akan menerima bantuan khas, walau pun telah dipohon banyak kali.Sebagai anak peneroka, mujurlah ada bantuan awal sanak saudara dan seterusnya dana PTPTN hasil idea BN, kalau tidak tak mungkin anak kampung dapat melanjut pelajaran ke Universiti.
Kamalanathan, calon BN bagi PRK Hulu Selangor mungkin seorang ‘kecil’ dibandingka Dato Zaid Ibrahim Calon PKR, namun Kamal adalah anak muda tempatan yang berkelulusan baik, mudah didekati , sentiasa merendah diri , tidak mempunyai bebanan peribadi dan yang penting ADA KERAJAAN BN PERSEKUTUAN dibelakangnya yang sudah pasti akan terus membantu beliau bagi menunaikan janji-janji kepada rakyat Hulu Selangor andaikata beliau diberi amanah dan kepercayaan untuk menjadi Wakil Rakyat bagi kawasan tersebut.
Atas perkiraan ini, PRK Hulu Selangor bukan sahaja membawa rahmat untuk kebaikan penduduk kawasan tersebut dalam tempoh seminggu dua, malah diyakini PRK Hulu Selangor akan menjadi ‘Defining Moment’ dalam membawa rahmat untuk rakyat Selangor keseluruhannya dalam PRU13 yang akan datang!
Beberapa kejadian serta isu sensasi yang berlaku sekitar dalaman Parti PAS nampaknya telah membuat ahli-ahli Parti tersebut menjadi keliru, bingung serta gelisah. Pertembungan Fraksi Erdogan dan pro-UG, isu Dr Hassan Ali di Selangor,kritikan Prof Aziz Bari terhadap TGHA, Luahan Hati TGNA dalam blog peribadinya yang menghentam Pimpinan Tertinggi PAS TGHA/Ustaz Naza,isu siapa lebih berkuasa antara TGNA atau TGHA dalam hiraki Parti,perang dingin PAS/DAP di PP,Dato Seri Nizar yang terlalu tunduk pada DAP Perak, Siasatan SPRM terhadap menantu TGNA, Pemecatan Blogger ‘Kickdefella’ dari GLC Kelantan , isu Bai’ah talak tiga keatas isteri kalau keluar parti PAS dan macam-macam lagi menjadikan PAS sebagai tumpuan umum ‘for the wrong reasons’.
Apakah ini merupakan bayangan kecelaruan demi kecelaruan yang akan terus berlaku kepada Parti berlandaskan Siyasah Islam apabila parti tersebut sanggup berkompromi PRINSIP yang dipegang selama ini demi secebis ‘KUASA ‘ dan Keuntungan Duniawi?
Kita baru menyambut Hari Malaysia 16hb September, tarikh keramat dimana Sabah, Sarawak dan Malaya sama-sama bersepakat membentuk Malaysia pada tahun 1963.
Kalau anda generasi hari ini menyangka bahwa Kemerdekaan Sabah melalui Malaysia adalah anugerah perjuangan yang tidak menagih walau setitik pun darah pejuang, ternyata anda silap besar! Sila ikuti Nota-Nota Sulit seorang Pejuang Veteran yang tertera di bawah dimana setiap patah perkataan adalah 100% asli nukilan 1963….
Lapuran Sulit Tawau,30hb December,1963
” Tawau,penangkapan2 ke-atas orang2 Indonesia yang di-dapati terlibat dalam gerakan peng-khianat Sukarno di-Sabah, ber-jalan terus menerus sejak dari pada bulan November hinggah hari ini.
Dari penangkapan pertama dalam awal bulan November itu, kita mula2 mengatahui benar rahasia2 gerakansulit dan penyeludupan2 senjata mereka masok ke-Tawau.
Peristiwa2 yang telah ter-jadi sejak bulan November sampai bulan ini(December) di-Tawau:
a) Seorang ketua penerangan USNO Chawangan Kongsi 10 telah di-dapati mati akibat dari bekas luka 3 lubang timbakan Pistol. Di-jumpai oleh askar2 perundah hutan di-dalam hutan sedang ke-dua tangan si-malang itu dalam ke-adaan ter-ikat.
b) Pertemporan Polis dengan sekompulan penderhaka itu di- jalan TIKU batu 8, sa-orang penderhaka telah terbunoh oleh pihak Polis dan Polis juga ber-jaya merampas 3 buah bumtangan dan sabila parang dan yang enam tujoh orang lagi dari kumpolan penjahat itu dapat melari-kan diri.
c)Pada 22-12-63 seramai 30 lelaki ber-pakaian sergam dan ber-senjata berat menceruboh ke-kampong Serudong, merampas sabuah kedai dan menchulik dua orang kampong, tetapi setelah kira2 selama 14 jam kemudian dua orang kampong itu dapat melari kan diri ke- Serudong balek. Kedua orang itu hingga masa ini sedang di-dalam siasatan Polis di-Tawau.
d) Pada 26-12-63 sekumpulan askar2 Indonesia telah membinasakan sebuah Motor Boat Penumpang di-terusan Rek Kalabakan, dengan merampas barang2 dalam motor itu, menimbak luka serang motor dan menchulik 5 orang pekerja dan penumpang.
e) Pada 29-12-63 tepat jam 8.30 malam askar2 Indonesia telah menyerang hibat perkhimahan Askar2 kita di-Kelabakan per-temporan itu ber-jalan kira2 selama 3 jam, dgn serangan tipu dan mendapat kerjasama dari orang2 company.
f) Kapal2 terbang pembum dan penggampur Indonesia, selalu mencheruboh terbang di-kawasan udara kita nampaknya memberi semangat kepada orang2 Indonesia yang ber-ada di-Tawau.”
Demikian lah catatan laporan sulit seorang pejuang yang pengorbanan mereka sebenarnya telah memungkinkan kita mengecapi nikmat Kemerdekaan sehingga kita kadang-kala terlalai bahwa satu saat dahulu kita pernah dijajah dan hampir dijajah kembali oleh negara jiran kita….Wallahu A’lam
Semasa menunggu penerbangan AIRASIA 0400ptg dari KK ke Tawau khamis 03sept 2009 terserempak pula dengan ADUN DAP Sri Tanjung. Beliau ini kalau terlihat saya dimana-mana jer terus lah menghampiri dan memulakan borak politiknya yang tak pernah berkesudahan. Sebenarnya , ADUN DAP ini dah lama saya kenali kerana sebelum saya mula menceburi dunia politik kepartian secara aktif lebih 20 tahun lalu, saya pernah terlibat bersama beliau dalam NGO ‘Environmental Action commitee’ di Tawau. Antara aktiviti kami termasuklah gotong-royong membersihkan sungai Tawau dari sampah-sarap serta pencemaran hasil buatan orang dan alami.
Berbalik pada ADUN DAP ini, dia menceritakan bahwa seorang rakannya PASTOR berpendapat bahwa konsep 1Malaysia yang diperkenalkan YAB PM ke6 Malaysia baik tapi tidak diamalkan secara adil di Malaysia. Beliau memberi contoh bahwa rakyat Malaysia yang lebih 60% jumlahnya lahir sebagai Islam tidak diberi kebebasan untuk memilih agama kesukaan mereka sendiri apabila mereka sudah dewasa atau dalam lain kata tidak dibenarkan murtad oleh perlembagaan Malaysia.Dalam hal ini beliau menyalahkan UMNO kerana terlalu konservatif serta rigid dan tidak mahu berubah dalam memberikan sedikit kebebasan beragama kepada rakyat Malaysia tanpa mengira siapa mereka dan agama apa yang mereka ingin anuti. Saya cuba memberikan penjelasan bahwa hakikat sebenar tentang isu Murtad ini bukan lah undang-undang ciptaan UMNO, tetapi merupakan ASAS agama islam itu sendiri yang menetapkan tidak ada kompromi dari soal kebebasan seorang beragama islam untuk keluar dari agamanya. Namun saya gagal memberikan kefahaman kepada ADUN DAP tersebut kerana nampaknya dia lebih ‘pandai’ dalam ilmu agama islam sejak bergaul dengan rakan-rakan PAS nya dalam PAKATAN RAKYAT.
Saya mencabarnya untuk bertanya isu Murtad ini kepada rakan-rakan PAS nya dan dengan selamba serta penuh keyakinan beliau berkata bahwa ‘Tuan Guru Nik Aziz lebih liberal di bandingkan UMNO dan sudah pasti kalau PAKATAN RAKYAT memerintah Malaysia ,undang-undang Murtad yang dirasanya berat sebelah ini akan di GUBAL serta di TIADAKAN! Beliau juga memberi contoh Pusat Menyembelih Khinzir yang menjadi kontroversi di Negeri Kedah suatu ketika dahulu apabila YAB MB Kedah enggan memberi keizinan pembinaannya telah dapat diselesaikan dengan mudah melalui satu penggilan telefon yang dibuat oleh DSAI terhadap Tuan Guru Nik Aziz. Dan kini katanya, wujudlah pusat penyembelihan Khinzir yang termoden dan tercanggih di Malaysia di Negeri Kedah hasil dari dasar PAS yang menganuti fahaman ‘ISLAM LIBERAL’ yang lebih baik dari UMNO…
Isu kontroversi Mantan MB Perak DS Nizar yang turut serta memegang lilin dalam upacara menghormati Roh Mendiang Teo Beng Hock Setpol DAP baru-baru ini, bukan lah sesuatu yang perlu diperbesarkan. DS Nizar hadir bukan sebagai ulama PAS tetapi sebagai pemimpin Politik yang memenuhi jemputan teman-teman DAPnya. Sehubungan itu, Halal atau Haram perbuatan DS Nizar itu tidak seharusnya menjadi kontroversi kerana PAS yang ada kini tidak lagi terlalu terikat kepada Hukum Syarie asalkan teman-teman ‘sekatil’ tidak kecil hati , malah sentiasa menghargai ‘keterbukaan’ PAS era Pasca-PRU12.
Untuk menghayati makna memegang lilin dalam upacara keagamaan kaum Cina, sila buka link dibawah:
http://www.pbs.org/wnet/religionandethics/week1146/belief.html
Pengundi DUN Manik Urai telah menyatakan keputusan mereka memberi kemenangan semula kepada Calon PAS. Keputusan ini sewajarnya dihormati semua pihak, menunjukkan proses Demokrasi telah dilaksanakan sebaik-baiknya. Yang jelas, PAS walaupun menang tetapi mengalami kejutan hebat apabila dalam peningkatan peratusan pengundi yang turun mengundi, undi terhadap PAS pula merosot sebanyak 7% .Sementara itu, undi yang diperolehi Calon BN pula meningkat 21% mengakibatkan undi majoriti kemenangan PAS dalam Mac 2008 sebanyak 1352 jatuh sebanyak 95% kepada 65 undi majoriti sahaja.
Pelbagai alasan dan hujjah diberikan oleh tokoh-tokoh PAS bagi ‘menjelaskan’ faktor-faktor yang membawa kepada ‘kemenangan hambar’ Calon PAS di Manik Urai. Sebelum Penamaan Calon awal Julai lalu, hatta sehinggalah saat-saat peti undi akan ditutup, PAS begitu yakin akan mendapat majoriti yang lebih besar dari PRU2008 berdasarkan keputusan 5 PRK sebelumnya dibeberapa tempat yang lain.
Pengarah Pilihanraya PAS Abd Fattah Haron adalah antara tokoh PAS yang meletakkan angka 2000 sebagai majoriti yang akan diperolehi Calon PAS, selain beberapa Blog-Blog pro-PAS/PR yang begitu teruja dan takbur dalam mendahului ‘Kuasa Allah SWT’ dengan menentukan kemenangan majoriti selesa kononnya disetiap peti undi setiap kawasan DUN Manik Urai. Ada pula Blog yang menuduh kepergian Tan Sri TPM meninggalkan Kota Bharu balik ke KL petang kelmarin sebagai petanda bahwa BN akan kalah teruk dan ‘Tauke Jambatan’ kononnya telah lari kecewa. Walhal YAB Tan Sri TPM meninggalkan Kelantan untuk menjalankan tugas meresmikan Majlis Tilawah Al-Quran peringkat Kebangsaan yang berlangsung malam semalam di Perak.
Kebiasaannya parti yang kalah akan mencari alasan untuk menjelaskan faktor kekalahannya, namun berbeza di PRK Manik Urai , dimana PAS yang ‘Menang Hambar’ tidak dapat menyembunyikan kekecewaannya apabila keputusan resmi yang diumumkan RO tidak lagi disambut suara Takbir seperti biasa, mungkin agak terkilan atas ‘pengajaran’ yang ditunjukkan Allah SWT atas keceluparan tokoh-tokoh PAS ‘mengkafirkan’ sesama ummat islam berlainan ideologi siasah termasukkan menyamakan UMNO sebagai ‘ajaran Ayah Pin’ dan ‘komunis’ kononnya. Pelbagai alasan menjadi hujjah termasuk kononnya BN menggunakan jentera kerajaan di Manik Urai, sedangkan 18 tahun PAS memerintah Kelantan , dimana jentera Kerajaan Negeri PAS , apakah tidak digunakan dari dahulu hingga sekarang sehingga hampir 50% rakyat Manik Urai menolak Calon Pilihan TGNA? Maknanya memang PAS hanya tahu Retorik serta Ceramah saban malam tetapi tidak mampu menggerakkan jentera kerajaaan untuk membangun serta mensejahterakan rakyat yang telah memberi undi dan mandat kepada mereka.
Dalam tinjauan yang dibuat semasa kempen di Manik Urai, rata-rata rakyat yang ditemui bosan dengan kerenah politik pimpinan PAS Kelantan yang tidak mampu membawa pembangunan asas yang diingini penduduk disini. Mujurlah tanah Manik Urai subur dan duriannya enak-enak belaka, namun oleh kerana kekurangan infrastruktur asas serta asas perekonomian yang tidak teratur dengan baik, penduduk Manik Urai masih menagih simpati untuk kehidupan yang lebih sejahtera dan bermakna. Angin perubahan memang sudah ketara di Manik Urai apabila terlihat penduduk kampung begitu berani melekat serta memasang bendera serta lambang BN/UMNO dirumah-rumah mereka , fenomena yang jarang-jarang terlihat diPRK yang lalu terutama dinegeri-negeri yang dikuasai PR.
Semasa tempoh kempen Manik Urai, kesemua tokoh-tokoh Pakatan Rakyat serta tokoh-tokoh PAS turun padang berkempen untuk membantu Calon PAS . Namun kehadiran semua tokoh-tokoh besar PR ternyata tidak mampu mempengaruhi pengundi Manik Urai memberi kemenangan Majoriti besar kepada Calon PAS tersebut. Dipihak BN pula, kempen dipimpin oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin, Timbalan Presiden UMNO merangkap Timbalan PM, dibantu oleh Datuk Mustapha Mohammad, Pengerusi UMNO Kelantan. Mereka yang dibantu jentera UMNO/BN dari negeri-negeri seluruh Malaysia telah melaksanakan kempen dengan cukup baik, sopan, berakhlak, tidak mencarut, tidak melakukan keganasan serta lain-lain perkara yang melanggar peraturan yang ditetapkan SPR.
Apapun alasan yang dibuat, tidak akan dapat menolak hakikat bahwa Manik Urai telah menjadi simbol kebangkitan semula BN dihati rakyat khususnya orang Melayu, yang sedar serta yakin bahwa dasar baru yang dibawa YAB Dato Najib selaku Perdana Menteri benar-benar meletakkan rakyat sebagai agenda utama dalam membangunkan negara, tanpa membezakan suku-kaum, kedudukan bandar maupun luarbandar serta kepelbagaian lainnya.Ini lah asas yang perlu menjadi azimat untuk pegangan setiap pejuang BN bagi meningkatkan lagi ‘struggle’ perjuangan kita menawan hati rakyat agar terbuka matahati mereka dalam menilai serta meghayati ‘siapa’ kaca dan ‘siapa’ permata dalam perjuangan mengangkat martabat bangsa, agama dan negara.
Tindakan DAP Kedah keluar dari Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Kedah membuktikan sekali lagi betapa rapuhnya Pakatan Rakyat yang sememangnya tidak mempunyai banyak persamaan ideologi perjuangan kecuali berkongsi perasaan dendam kesumat serta kebencian terhadap UMNO/BN. Atas alasan mempertahankan hak masyarakat Cina, DAP Kedah mengambil tindakan tersebut setelah bantahannya terhadap tindakan Kerajaan Kedah merobohkan Pusat Penyembelihan Khinzir di Alor Setar tidak di layan oleh Kerajaan Pakatan Rakyat Kedah yang di dominasi Parti PAS.
Dengan hanya sebuah kerusi DUN , DAP Kedah cuba memberikan ‘tekanan politik’ terhadap Kerajaan Kedah agar tunduk kepada kemahuan parti Cina tersebut. Namun ketegasan pimpinan PAS Kedah menyebabkan DAP Kedah kecewa dan mengambil tindakan ‘terhormat’ untuk keluar dari kerajaan Pakatan Rakyat Kedah.
Kejadian pertembungan ideologi serta ketidak-serasian antara parti-parti Pakatan Rakyat di beberapa negeri yang di perintah PR amat kerap berlaku dan ini jelas menunjukkan bahwa ‘pernikahan sementara’ PR sudah mulai ‘Retak Menanti Belah serta Hancur Berderai’.
Yang melucukan aktivis serta ahli-ahli PAS yang fanatik dan taksub masih mengagung-agungkan jalinan hubungan mereka dengan DAP tanpa mereka menyedari bahwa DAP lah musuh PAS sebenar seperti dinyatakan Karpal Singh yang beliau sanggup mati menentang Hukum Hudud yang ingin di laksanakan oleh PAS apabila Pakatan Rakyat memerintah Malaysia kelak.
Sudah pasti PAS hanya mahu dijadikan kuda tunggangan oleh DAP untuk Agenda Malaysian Malaysianya seperti berlaku di Perak dimana Nizar seperti Boneka Dicucuk Hidung oleh Pimpinan DAP Perak. Untuk menegakkan kerajaan PR Perak yang di dominasikan DAP, ahli-ahli PAS yang ‘naive’ di perbodohkan oleh DAP hingga sanggup menggadaikan nyawa baring dilaluan kenderaan DYMM Raja Muda Perak , satu perbuatan ‘Derhaka Raja’ yang amat memalukan bangsa Melayu sedunia.
Beberapa hari ini, isu pertembungan sengit kelompok Ulamak vs Erdogan dalam Muktamar PAS Ke-13 menjadi bualan ramai. Yang menarik dan melucukan ,UMNO menjadi faktor utama dalam menentukan samada Ustaz Nasaruddin atau Husam yang akan memenangi undi perwakilan yang hadir bagi jawatan kedua tertinggi PAS, Timbalan Presiden parti.
Walau siapa pun yang menang, tidak dapat dinafikan lagi bahwa PAS mempunyai peluang yang sangat besar untuk memenangi lebih banyak kerusi dalam PRU13 yang akan datang atas sokongan yang terus meningkat dari masyarakat bukan islam yang semakin jinak kepada ‘wajah baru’ parti berhaluan islam yang tertua di Malaysia. Sudah tiba masanya PAS bukan setakat menjadi ‘penumpang’ dalam kerajaan PR tetapi seperti yang di laung-laungkan Presiden PAS TGHH, PAS mampu ‘menakhoda’ kerajaan persekutuan yang menjadi impian di masa akan datang. Dan apabila impian tersebut menjadi kenyataan, mampu kah PAS menterjemah ‘Agenda Utama’ serta ‘Intipati’ Dasar parti yang diperjuangkan selama ini tanpa perlu berlapik dengan jenama-jenama seperti ‘Kerajaan Berkebajikan’, ‘Siasah Li Ta’arafu’, atau jenama sewaktu dengannya?
Gambaran realiti sebenar apa yang bakal berlaku di masa hadapan apabila PR berkuasa di peringkat pusat boleh di lihat dengan pergeseran sesama sendiri antara PKR, DAP dan PAS di Negeri-Negeri di kuasai PR sekarang samada di Selangor, Kedah,Perak(semasa dalam PR) dan yang terkini pergeseran antara PKR dan DAP mengenai isu Presiden Majlis Perbandaran Seberang Perai di Pulau Pinang.
Bersediakah Anwar Ibrahim PKR atau Lim Kit Siang DAP untuk menerima Perdana Menteri dari PAS dan mereka setakat menjawat Timbalan Perdana Menteri untuk kuota bumiputera dan Bukan-Bumiputera serta jawatan Menteri yang lainnya. Mungkin Karpal yang pernah berkata ‘langkah mayat saya sebelum PAS boleh memartabatkan HUDUD di Malaysia’ tidak hidup selama-lamanya untuk terus menjadi Trauma kepada PAS, namun apakah ada jaminan tidak akan wujud lebih ramai lagi Karpal Singh dalam DAP yang sememangnya sebuah parti yang di dominasi sentimen bukan bumiputera yang ingin merubah ‘Lanskap Politik ‘ Tanah Melayu menjadi seperti Singapura selama-lamanya.
Hanya masa dan kewarasan akal-budi masing-masing yang mampu menentukan apa halatuju Malaysia yang kita inginkan….
Petang tadi, Panel 3 Hakim Mahkamah Rayuan Putrajaya membuat keputusan sebulat suara(maknanya 3-0) memihak kepada rayuan Dato Seri Dr. Zambry Abd Kadir untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 11 Mei 2009 lalu yang mengesahkan Dato Seri Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar Perak yang sah. Sehubungan keputusan Mahkamah Rayuan ini bermakna Zambry merupakan Menteri Besar Perak yang SAH dan semua pihak wajar menghormati keputusan yang di buat mengikut lunas-lunas Perundangan serta Perlembagaan tersebut.
Persoalannya mampukah pemimpin serta penyokong PR menerima keputusan Panel 3 Hakim Mahkamah Rayuan tersebut dengan hati terbuka ? Adakah PR akan kembali memainkan lagu lama kegemaran mereka iaitu menuduh Hakim berat sebelah setiap-kali keputusan penghakiman tidak berpihak kepada mereka? Amatlah malang andaikata pihak tertentu dalam PR tidak menghormati kedaulatan undang-undang dan cuba mengapi-apikan penyokong mereka melalui ceramah- ceramah umum agar timbul persepsi bahwa Nizar di-aniaya atau dizalimi oleh BN melalui penghakiman Mahkamah Rayuan tersebut.
Kepada Zambry, rakan-rakan EXCO serta Wakil-Wakil Rakyat BN , ini bukan masa untuk bergembira-sakan atau mendabik dada menunjukkan keangkuhan, malah berakhirnya episod ini buat sementara waktu sewajarnya menyuntik keinsafan bahwa laluan dihadapan masih penuh onak dan duri cabaran. Oleh itu tunjukkan keikhlasan berkhidmat sungguh-sungguh untuk rakyat Perak yang sudah bosan dengan kemelut yang melanda negeri tersebut sekian lama. Rangka dan laksanakan program yang benar-benar mampu mensejahterakan rakyat tanpa mengira kaum, agama serta sempadan daerah. Sentiasalah berdamping dengan rakyat dan jadilah pemimpin yang mampu menyelami permasaalahan rakyat serta mampu menyelesaikan masaalah tersebut sesegera mungkin.
Pada masa yang sama, teruslah setia kebawah DYMM Tuanku Sultan Perak dan dari semasa ke semasa mohonlah bimbingan serta nasihat dari Baginda tentang perkara-perkara tertentu yang ingin dilaksanakan atau dalam menyelesaikan sebarang permasaalahan yang dilihat terlalu sensitif.
Kepada Rakyat Perak, bersatu padulah dan sokonglah Kerajaan Semasa “Government of The Day’. Cukup-cukup lah dengan aktiviti politiking yang tidak berkesudahan. Ini adalah masa untuk membangunkan Negeri serta Rakyat agar terus sejahtera seperti negeri-negeri lain di Malaysia.
Sabah mengalami pengalaman pahit tertinggal 10 tahun dari segi pembangunan di banding Sarawak akibat ketidak-stabilan iklim politik serta kerap bertukar-tukar kerajaan dalam sekitar tahun 1976-1992. Dan amatlah menyedihkan andaikata trajedi Sabah berulang kembali di Bumi Perak yang bertuah.
Musim lobi-melobi jawatan sempena pemilihan pucuk pimpinan PAS di Muktamar yang akan datang menampakkan wajah ‘sebenar’ pemimpin PAS yang mendakwa parti mereka adalah parti ‘HIZBULLAH’ kononnya. Pelbagai cerita tentang perlakuan rasuah politik dikhabarkan bukan oleh orang luar bahkan oleh orang parti itu sendiri termasuk lah pendedahan yang di buat oleh Ketua Dewan Ulama PAS Ustaz Mohammad Daud Iraqi.
Pelbagai cara di gunakan oleh calon-calon yang bertanding untuk meraih sokongan dari perwakilan parti di peringkat bahagian dengan memberi ‘Hadiah’ yang sebenarnya adalah merupakan sebahagian gejala politik wang. Entah esok lusa akan di keluarkan pula fatwa bahwa apa yang diberikan oleh calon secara langsung maupun melalui agen-agen bukanlah rasuah tapi merupakan ‘sedekah’ yang di tuntut agama.
Adalah tidak mengherankan apabila gejala politik wang sudah lebih ketara dalam PAS akibat dari perlumbaan untuk menduduki jawatan strategik dalam parti yang mereka yakini akan mampu membentuk Kerajaan Persekutuan dalam PRU13. Selain itu, kebanyakan yang bertanding pula merupakan mereka-mereka yang berjawatan sebagai MB, EXCO Negeri, Wakil Rakyat serta ahli-ahli korporat di negeri-negeri yang di perintah Pakatan Rakyat, dan sudah pasti mereka mampu untuk memberi lebih dari setakat air liur semata-mata.
Bezanya dalam PAS, gejala Politik Wang berjaya ditutup oleh konspirasi ‘Arahan Tutup Mulut’ oleh hiraki pimpinan Parti atas alasan tidak mahu membuka ‘Pekung Di Dada’. Rasuah politik ini juga menampilkan sikap ‘Munafik’ atau ‘Hypocrite’ parti PAS dalam isu Politik Wang dengan membesarkan kes politik wang dalam pemilihan UMNO yang lalu, tapi pada masa yang sama berusaha menyembunyikan hakikat bahwa mereka pun 2X5 dengan mana-mana parti politik yang terdapat di dunia.
Di Sabah , khususnya di Tawau, pelbagai kaedah politik wang di lakukan termasuk mengadakan atau menaja acara serta program dengan menghimpunkan perwakilan-perwakilan, yang sebenarnya adalah untuk meraih undi dalam pemilihan parti semata-mata. Hari ini sahaja didapati begitu ramai ahli-ahli PAS dari seluruh negara termasuk perwakilan bahagian yang mendapat ‘hadiah’ berhimpun jauh di negeri di bawah bayu, khasnya di Tawau Bumi Peladang. Kononnya atas nama perhimpunan Penggerak-pengerak PASTI, satu acara Hari Guru di adakan di sebuah hotel di Bandar Tawau, dimana lebih 70 bilik telah ditempah kononnya atas tajaan pihak-pihak tertentu.
Kebetulan pula yang turut hadir memeriahkan acara PAS di Tawau hari ini termasuklah calon-calon Naib Presiden seperti YB Salahuddin Ayub, YB Mahfuz Omar serta calon Ahli Jawatankuasa Kerja Ustaz Abu Bakar Chik !
Selepas mesyuarat kabinet negeri Sabah petang tadi, YAB Datuk Seri Musa Aman, Ketua Menteri Sabah telah mengumumkan rombakan kecil kabinet negeri Sabah.
Rombakan kabinet ini diadakan sebagai lanjutan kemasukan Datuk Raymond Tan, mantan Timbalan Ketua Menteri Sabah menyertai Parti Gerakan, selepas meninggalkan SAPP dan menjadi ADUN bebas selama 8 bulan. Jawatan Timbalan Ketua Menteri Sabah bagi kuota Cina kini disandang Datuk Peter Pang, Naib Presiden parti LDP,yang akan terus mengekalkan jawatan Menteri Belia Dan Sukan Negeri Sabah. Selain itu, LDP juga mendapat tambahan jawatan Pembantu Menteri apabila ADUN kawasan Merotai Pang Yuk Min di lantik Pembantu Menteri Kementerian Pembangunan Infrastruktur.
Walaupun kehilangan jawatan Timbalan Ketua Menteri, Datuk Raymond Tan masih kekal dalam kabinet Sabah sebagai Menteri Pembangunan Perindustrian bagi menggantikan Datuk Ewon Ebin(UPKO) yang berpindah kementerian Pembangunan Luar Bandar. Jawatan Menteri Pembangunan Infrastruktur pula kini di pegang Timbalan Ketua Menteri Kuota Bumi Bukan Islam,iaitu Datuk Seri Panglima Joseph Pairin Kitingan(PBS).
Sementara itu, beberapa perubahan portfolio jawatan pembantu Menteri juga berkuat-kuasa mulai hari ini melibatkan Donald Mojuntin(UPKO) yang berpindah dari kementerian Pembangunan Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat ke jawatan baru selaku Pembantu Menteri Kewangan 2, Datuk Jainab(UMNO) berpindah dari Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian ke Pembantu Menteri Pembangunan Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat manakala Datuk SP Micheal Asang(PBS) yang sebelum ini memegang jawatan Pembantu Menteri Pembangunan Infrastruktur berpindah kejawatan baru sebagai Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian . Jawatan-jawatan lain samada Menteri maupun Pembantu Menteri masih kekal dengan penyandang yang sedia ada.
Dengan selesainya rombakan kecil kabinet negeri Sabah hari ini, maka berakhirlah semua spekulasi serta teka-teki yang melanda negeri Sabah sejak keluarnya parti SAPP pimpinan Yong Teck Lee dari BN pada bulan Ogos 2008, akibat terpedaya dengan impian 16 SEPTEMBER yang dicanang-canang Pakatan Rakyat dan Anwar Ibrahim.
Semoga kabinet negeri Sabah akan meneruskan segala perancangan baik yang telah di atur untuk membangunkan Sabah serta mensejahterakan rakyat tanpa sebarang gangguan akibat ketidak-tentuan iklim politik yang amat tidak diperlukan.
Kedudukan siapa Menteri Besar Perak ibarat permainan Yo-Yo, sekejap Nizar diatas,kemudian Zambry pula diatas. Semalam Mahkamah Tinggi(Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas) mengistiharkan Nizar masih lagi Menteri Besar yang sah dan mula kembali masuk pejabat Menteri Besar Perak pagi ini. Namun menjelang awal petang selasa hari ini, Mahkamah Rayuan pula menerima permohonan Zambry untuk tangguhkan keputusan pengesahan Nizar sebagai Menteri Besar. Maknanya Zambry akan kekal sebagai Menteri Besar sehingga proses rayuan beliau selesai.
Yang menarik dalam kes yang akan menjadi ‘Landmark Case’ serta bakal rujukan masadepan bagi pengamal dalam Undang-Undang Perlembagaan adalah cara penerimaan mereka yang terlibat serta penyokong masing-masing. Apabila Nizar disahkan masih Menteri Besar yang sah untuk Perak, maka bergembiralah para penyokong Pakatan Rakyat dengan gelagat-gelagat tersendiri mereka, manakala penyokong BN pula menerima keputusan Mahkamah Tinggi tersebut dengan hati terbuka sebagai menghormati prinsip kedaulatan undang-undang.Tidak nampak pula walau seorang pun penyokong BN yang merusuh atau baring di tengah jalan bagi menghalang laluan kereta Hakim Mahkamah Tinggi yang membuat keputusan penghakiman yang tidak berpihak kepada Zambry atau BN.
Demikian juga adalah diharapkan agar semua rakyat Malaysia sentiasa bertenang dalam menerima apa juga keputusan Mahkamah berkenaan sebarang kes yang ada hubungan dengan politik atau orang politik bagi memastikan kedaulatan undang-undang terus dipertahankan dan negara Malaysia akan terus aman dan tenteram.
Saya baru selesai menghadiri kenduri tahlil arwah ayah kepada sahabat saya yang kebetulan tinggal berjiran sebelah pagar. Semasa minum-minum teh tarik selepas makan malam, kami sembang-sembang tentang isu semasa yang berlaku di seluruh negara. Salah seorang yang turut hadir dalam majlis tersebut adalah mantan pegawai tinggi kerajaan Sabah yang sudah pun pencen tapi masih memegang jawatan sebagai Pengerusi serta Ahli Lembaga Pengarah beberapa Badan Berkanun dan GLC Negeri Sabah. Dia menyatakan kekagumannya terhadap penampilan serta cara YAB Dato Najib dalam menyampaikan ucapan. Tambahnya lagi, setiap kali mendengar Dato Najib berucap, dia tidak pernah merasa jemu malah seakan-akan mahu terus mendengar ucapan yang lebih panjang. Begitu lah hebatnya Dato Najib, yang bukan sahaja ucapannya penuh berisi bahkan disampaikan dengan penuh karisma, gaya bersahaja,mampu menaikkkan semangat pendengar dan sekali-sekala di selangi jenaka yang membuat para pendengar tertawa terbahak-bahak.
Semasa berucap di hadapan lebih 15,000 rakyat Sabah yang berhimpun di Padang Merdeka, Kota Kinabalu pada 5hb Mei 2009 , YAB Dato Najib sekali lagi berjaya memukau rakyat pelbagai suku-kaum, agama serta adat-resam, dengan ucapan yang sungguh berani dan memberangsangkan. Antara sedutan ucapan beliau yang menarik adalah seperti di bawah:
“Rakyat di dahulukan dan Pencapaian di utamakan bermakna pemimpin serta wakil rakyat mesti benar-benar berkhidmat sebaik mungkin untuk rakyat,jadi hamba kepada rakyat. Pemimpin mesti turun padang mendengar masaalah rakyat dan berusaha menyelesaikan masaalah yang di hadapi oleh rakyat secepat yang mungkin. Dengan cara ini maka sudah pasti pemimpin akan sentiasa berada di hati rakyat”
“Tak payah tunggu jemputan sebagai wakil rakyat untuk turun padang berjumpa rakyat, tak payah diundang, tak perlu ada bunga manggar, tidak payah hamparan permaidani merah, tak payah tunggu jurukamera televisyen ada, tak payah protokol-protokol atau rasmi-rasmi”
“Ada banyak bezanya kalau kita diberi taklimat dalam bilik berhawa dingin,duduk dikerusi empuk, tapi kalau kita turun padang tengok masaalah yang ditanggung rakyat dengan mata-kepala kita sendiri, kita hidu baunya maka barulah kita tahu apa masaalah rakyat yang sebenarnya. Inilah stail yang saya mahu dari semua pemimpin-pemimpin BN”,
“Kalau Perdana Menteri boleh buat, menteri-menteri tak boleh buat kah? Wakil-wakil rakyat tak boleh buat kah?”
“Saya mahu pemimpin menjadi orang yang disayangi dan dihormati oleh rakyat dan bukannya jadi pemimpin yang ditakuti oleh rakyat. Pemimpin yang ditakuti rakyat apabila kelak tidak punya jawatan akan dikutuk oleh rakyat”
Demikianlah antara sedutan ucapan YAB Dato Najib yang mendapat sorakan serta sokongan hebat dari rakyat Negeri DiBawah Bayu. Yang menarik selepas sahaja perhimpunan bersama rakyat tersebut, YAB Perdana Menteri telah mengambil masa kira-kira setengah jam mengunjungi rumah Arwah Usahawan Sabah disebelah rumah saya tanpa notis dan turut bersama menunaikan solat jenazah(program ziarah ini tidak termasuk dalam aturcara rasmi lawatan PM). Selepas solat jenazah YAB Dato Najib terus barsalam-salaman mesra dengan semua yang hadir termasuk beberapa orang teman-teman dari bangsa Tionghua (rakan-rakan perniagaan arwah mungkin) yang nampak terpinga-pinga tapi gembira kerana dapat peluang bermesra dengan Pemimpin Nombor Satu Negara yang begitu ‘Humble’ serta mesra-rakyat.
Selepas itu, YAB Dato Najib meneruskan acara turun padangnya dengan program ‘Walk-about” atau ‘Tinjauan Mesra’ ke pasar kraftangan Kota Kinabalu dan beberapa tempat awam yang lain, sambil meneliti keperluan serta masaalah yang di hadapi oleh peniaga serta penjaja yang menjalankan perniagaan di kawasan tersebut.
Inilah pendekatan Perdana Menteri Malaysia ke-6 yang sudah pasti akan mampu memenangi serta menawan hati seluruh rakyat Malaysia.
Muktamar PAS yang akan diadakan tidak berapa lama lagi berjaya menarik perhatian bukan sahaja dari kalangan jemaahnya bahkan dari ramai non-partisan dari luar parti tersebut. Yang menjadi debaran kepada ahli-ahli parti yang menjadikan Islam sebagai Tunjang perjuangan itu adalah siapa gerangan bakal menggalas kepercayaan ahli-ahli parti untuk meneruskan Amanah menegakkan Negara Islam di bumi Malaysia.
Lebih menarik pemilihan kali ini menyaksikan pertembungan antara golongan Ulama dan golongan Professional bukan Ulama (ERDOGAN) yang cuba menagih simpati ahli-ahli Pas dalam meneruskan Agenda Parti mengikut ‘kaedah’ serta ‘pendekatan’ yang berbeza. Golongan Ulama yang kini menguasai kedua-dua jawatan tertinggi parti tersebut iaitu Ustaz Abdul Hadi Awang sebagai Presiden dan Ustaz Nasaruddin sebagai Timbalan Presiden di jangka bakal menghadapi saingan sengit dari Golongan Erdogan yang ‘di nakhodai’ oleh Husam Musa dan rakan-rakannya.
Bagi Golongan Ulama, asas perjuangan menegakkan Kerajaan Islam yang mereka impikan tidak bermakna harus mengkompromi prinsip serta dasar keislaman demi mendapatkan secebis ‘kuasa’. Kejayaan sebenar bukannya dalam mendirikan kerajaan bahkan yang di dambakan adalah ‘keredhaan Allah’ semata-mata. Kalau tidak berjaya di dunia namun istiqamah dalam perjuangan, maka kejayaan di Akhirat dan keredhaan Allah swt menjadi matlamat utama.
Sementara itu, Golongan Erdogan pula membawa pendekatan berbeza. Bagi mereka yang menjadi keutamaan adalah mendapatkan ‘kuasa’ walau dengan apa cara sekali pun. Dengan kuasa berada di tangan baru lah agenda islamisasi serta menegakkan ‘daulah islamiyah’ akan menjadi lebih bermakna serta mudah di jadikan realiti. Agenda ‘Matlamat Menghalalkan Cara’ Golongan Erdogan ini menyebabkan seringkali prinsip perjuangan Pas menjadi haru-biru dan menjadi bahan jenaka saingan politik lain. Sebagai contoh kalau dahulu, pakatan antara UMNO dengan MCA, MIC menyebabkan UMNO di tuduh sebagai parti ‘kafir’ dan akibatnya sembelihan orang UMNO tidak halal di makan, namun kini dalam keserabutan mengejar kuasa, pakatan PAS dengan DAP di anggap ‘harus’ serta ‘halal’ walaupun DAP terang-terangan menentang pembentukan Negara Islam serta HUDUD yang selama ini menjadi asas utama perjuangan Jemaah PAS.
Setiap hari ada sahaja kenyataan akhbar oleh wakil-wakil kedua-dua kelompok tersebut di siarkan oleh media arus perdana atau media alternatif, yang menunjukkan bahwa pertembungan antara dua kelompok tersebut tidak dapat dielakkan. Tambahan pula terdapat khabar-khabar angin yang mengatakan bahwa wujudnya ‘personaliti politik’ dari luar PAS yang cuba-cuba masuk campur secara halus untuk menguasai PAS melalui proksi dan kroni yang di pasang dalam pertembungan kepimpinan parti Islam tertua di Malaysia.
Ini adalah peristiwa benar yang berlaku kepada saya beberapa tahun lalu semasa saya masih bertugas sebagai Pembantu Menteri Kementerian Pembangunan Luar Bandar Negeri Sabah. Sebagai penjawat awam dan wakil rakyat, pejabat saya di Tawau maupun di Kota Kinabalu memang tidak pernah sunyi dari di kunjungi pelawat-pelawat yang datang untuk pelbagai maksud serta tujuan.
Ada yang mengadu tentang masaalah kekurangan infrastruktur di kampung, tidak kurang pula yang memohon sokongan untuk mendapatkan pekerjaan, sokongan untuk biasiswa, sokongan untuk berurusan dengan jabatan-jabatan kerajaan, malah ramai yang menganggap bahwa pejabat wakil rakyat adalah pusat mendapatkan bantuan kebajikan kewangan dan lain-lain.
Pada suatu hari, pejabat saya di Kota Kinabalu di kunjungi seorang wanita tua dengan pakaian yang comot, mulut mengunyah sirih hingga ternampak lah barisan gigi ronggak berwarna merah kehitam-hitaman.
“Assalamualaikum Mak Cik, silakan masuk dan ambil tempat duduk” kata saya sambil mempersilakan wanita tua yang dalam jangkaan saya berumur lebih 60 tahun itu untuk duduk di kerusi tetamu . Wanita tua itu tanpa bersuara terus saja duduk dengan bola matanya merenung saya dengan pandangan yang tajam.. Saya melakar senyuman kepadanya untuk memastikan dia berada dalam keadaan selesa dan tidak terlalu kekok berada di pejabat Pembantu Menteri,kononnya… Hati saya pula tertanya-tanya gerangan nenek siapa lah ni di biarkan berkeliaran hingga tersesat masuk kepejabat saya..hehe…
“Di mana saya boleh berludah Datuk?”pertanyaannya yang tidak berapa jelas kerana mulut yang penuh air liur merah ibarat darah, menyentak lamunan saya dan saya terus bergegas menunjukkan arah bilik air yang tak berapa jauh dari meja saya. “Di situ Mak Cik, pegi lah Mak Cik” kata saya sambil berharap-harap Mak Cik itu tidak tersembur air liur nya di karpet biru bilik saya.
Beberapa minit kemudian Mak Cik itu kembali duduk ,nampak dia dalam keadaan lega tapi masih lagi mengunyah sirih.
“Apa yang boleh saya bantu Mak Cik?” tanya saya dengan tidak sabar menanti jawapan wanita tua tersebut. “Saya mohon Datuk bantu saya untuk bayarkan yuran sekolah cucu-cucu saya”ujarnya selamba sambil mengeluarkan beberapa keping kertas lalu menyerahkan kepada saya. Saya pun meneliti kepingan-kepingan kertas yang hampir koyak mungkin kerana terlalu kerap di usung ke hulu dan ke hilir oleh wanita tua tersebut.
“Ini senarai tuntutan yuran cucu-cucu Mak Cik yang bersekolah di Kota Belud, makna nya Mak Cik ni pun datang dari Kota Belud lah kan?” tanya saya dan wanita tua itu mengangguk-angguk kepala tanda mengiyakan bahawa memang sah dia dari Kota Belud.
“Mak Cik, bukan nya saya tak mau bantu, tapi kalau Mak Cik dari Kota Belud sewajarnya Mak Cik kena pegi jumpa YB-YB dari Kota Belud seperti Datuk Salleh Said, Tan Sri Pandikar, Datuk Japlin atau Datuk Hj Musbah, pasti dorang akan bantu Mak Cik” saya cuba memberi penjelasan sebagai alasan untuk tidak perlu membantu berbentuk kewangan kepada wanita tua itu. Dalam hati saya kalau semua orang yang datang dari seluruh Sabah minta bantuan kewangan dan saya penuhi permintaan mereka, alamat kering lah wang gaji saya sebelum pertengahan bulan dan tambah botak lah kepala saya ni….
“Kenapa Datuk tidak boleh bantu saya kah?”tanyanya lagi,
“Mak Cik, biasanya saya selaku wakil rakyat dari Tawau DUN Apas akan bantu kewangan bagi rakyat Tawau atau Apas yang susah tapi bukan rakyat dari kawasan lain”,
“Tapi Datuk ada jawatan kah dalam Kerajaan Sabah?” tanya wanita tua itu lagi..
“Ada Mak Cik, saya Pembantu Menteri Luar Bandar Sabah”,jawapan saya membuat Mak Cik tua itu tambah berkerut dahi nya yang memang pun sudah penuh dengan garis-garis lambang pengalaman pahit perjuangan kehidupannya .
“Datuk jadi Pembantu Menteri Luar Bandar hanya untuk kawasan Tawau dan Apas saja kah Datuk?”soalan cepu emas Mak Cik tua ini benar-benar menghiris dan melumatkan perasaan ego saya dan hampir-hampir menyebabkan saya terjatuh dari kerusi empuk saya.
“Tidak Mak Cik, saya jadi Pembantu Menteri Luar Bandar untuk Seluruh Negeri Sabah”jawab saya seakan-akan tidak bermaya kerana saya dapat menjangkakan bahawa hujah wanita tua dari Kota Belud itu seterusnya sudah pasti akan mematahkan segala strategi awal saya.
“Kalau begitu Datuk Wajib bantu saya kerana saya orang susah dari luar bandar Sabah, dari Kota Belud ni Datuk”, katanya dengan bangga, seakan-akan Pendakwa Raya Kanan Persekutuan yang telah berjaya mematah dan menamatkan hujah-hujah lawannya.
“Baik lah Mak Cik , saya boleh bantu sikit tapi tidak lah bantu bayar semua yuran-yuran itu”, jawab saya sambil menyeluk saku dan mengeluarkan dua keping nota RM50 dan menghulurkan ketangan wanita tua yang tersenyum-senyum gembira itu.
“Terima kasih Datuk, mudah-mudahan Datuk tambah murah rezeki”, itulah kata-kata akhir dari Mak Cik tua dari Kota Belud yang selepas itu tidak lagi pernah saya temui.
“Terima kasih kembali kerana menyedarkan saya tentang tugas yang saya pikul sebagai wakil rakyat dan jemaah kabinet Negeri Sabah”bisik hati kecil saya sambil bersyukur ke Hadrat Allah kerana menghantar seorang wanita tua miskin untuk mengajar saya tentang makna tanggung-jawab dalam memegang jawatan.
Demikian lah peristiwa lucu tapi penuh dengan makna serta iktibar yang akan terus segar dalam ingatan saya dan akan menjadi sebahagian panduan dalam meneruskan liku-liku perjuangan sebagai wakil yang berkhidmat untuk rakyat….
Semasa sesi penggulungan YAB Ketua Menteri/Menteri Kewangan di Dewan Undangan Negeri Sabah pada hari terakhir sebelum Sidang Dewan di tangguh petang 22April 2009, ADUN tunggal DAP dari Sri Tanjong membuat kekecohan yang memalukan. Beberapa kali ADUN DAP tersebut mengganggu ucapan penggulungan yang di buat Datuk Musa dengan nada keras menengking sambil
menyebut perkataan ‘unparliamentary’ seperti ‘Kau’ berkali-kali ,tidak mengendahkan arahan Speaker Dewan untuk duduk serta membuat tuduhan tanpa asas bahawa YAB Ketua Menteri seorang ‘Diktator’.
Aksi memalukan yang di lakukan beliau amatlah mencemar kemuliaan Dewan Undangan Negeri Sabah dan dengan berteriak-teriak tidak keruan beliau seakan-akan beranggapan bahawa beliau berada di kedai kopi atau di pasar ikan!
Episod tersebut bermula apabila YAB Ketua Menteri menyentuh dan menjawab beberapa isu serta persoalan yang di bangkitkan oleh ADUN-ADUN semasa sesi perbahasan Usul Ucapan Terima Kasih atas Ucapan Dasar Tuan Yang Terutama Yang DiPertua Negeri Sabah.
Semasa menjawab persoalan tentang beberapa batang jalanraya di kawasan Ulu Kalumpang yang rosak, YAB Ketua Menteri menjelaskan bahawa jalan-jalan tersebut tidak dapat di perbaiki buat sementara waktu kerana ianya belum di gazet sebagai Jalan Kerajaan dan masih di bawah Jalan Estate atau Jalan Peribadi Pekebun Kecil. Penjelasan ini gagal di fahami ADUN DAP tersebut dan beliau berkeras mahu Kerajaan melakukan pembaikan tersebut dengan alasan Kerajaan Sabah telah mengenakan Cukai Jualan Minyak Sawit Mentah terhadap semua pekebun kelapa sawit termasuk pekebun kecil.
Sebenarnya umum mengetahui bahawa Cukai Jualan Minyak Sawit Mentah (CPO Sales Tax) sebanyak 7.5% hanya dikenakan terhadap Penggilang Minyak Sawit Mentah dan tidak di kenakan kepada penjualan Buah Sawit Tandan Segar. Sehubungan itu, dakwaan bahawa pekebun-pekebun kecil sawit turut di kenakan cukai jualan 7.5% adalah tidak tepat dan mengelirukan.
Sebelum Cukai Jualan 7.5% terhadap CPO di kuat-kuasakan oleh Kerajaan Negeri, Industri Sawit di Sabah yang kebanyakannya di miliki syarikat-syarikat gergasi dari Semenjung Malaysia telah mengaut keuntungan ribuan juta ringgit tanpa memberi sebarang pulangan kepada Negeri Sabah, yang telah begitu banyak memberikan kemudahan infrastruktur seperti kemudahan jalanraya, pelabuhan, serta lain-lain keperluan asas. Syarikat-syarikat tersebut kalau pun membayar cukai , namun cukai tersebut di bayar langsung kepada Kerajaan Persekutuan. Yang lebih mendukacitakan lagi, kakitangan syarikat pun kadangkala di-bawa dari Semenjung Malaysia, manakala pekerja buruh pula adalah terdiri dari pekerja kontrak dari negara jiran Indonesia.
Diatas kebijaksanaan YAB Datuk Musa selaku Menteri Kewangan Sabah, Cukai Jualan CPO yang mula di perkenalkan beberapa tahun lalu telah mampu menyumbang hasil yang lumayan untuk Negeri Sabah. Dalam tahun 2008, jumlah pungutan hasil Cukai Jualan CPO mencecah RM1 Billion, yakni melebihi 30% dari Jumlah keseluruhan kutipan Hasil Negeri sebanyak RM3.34 Billion. Inilah dana yang akan di gunakan oleh Kerajaan Negeri Sabah bagi melaksanakan pembangunan berterusan Negeri Sabah untuk kesejahteraan rakyat tanpa mengira samaada di bandar maupun di luar bandar.
Dalam pada itu, sebagai kerajaan yang bertanggung jawab dan perihatin terhadap masaalah pekebun-pekebun kecil sawit terutama yang memiliki tanah kurang dari 15 ekar, kerajaan telah menubuhkan Skim Bantuan Khas dan Pinjaman Mudah untuk Pekebun-Pekebun Kecil Sawit. Pada 8 Januari 2009,Kerajaan Negeri telah mengumumkan Dana RM50 Juta sebagai tabung khas bagi membantu Pekebun Kecil Sawit (PKS) yang menghadapi masaalah kewangan berikutan kejatuhan harga komoditi tersebut melalui skim-skim yang di sebut di atas.
Selain itu, Jabatan Pertanian Sabah menyediakan pelbagai jenis bantuan untuk PKS berkelompok seperti bantuan dana buka kawasan dengan kadar RM750 sehektar,bibit sawit @160 pokok/sehektar,
bantuan baja/racun kimia, peralatan ladang dan juga perkhidmatan bimbingan serta nasihat.
Agensi-agensi lain seperti SLDB, Sawit Kinabalu, FELDA, FELCRA, Lembaga Pertubuhan Peladang dan lain-lain juga mempunyai skim serta kaedah masing-masing untuk membantu PKS (kebanyakannya Pekebun- Pekebun Bumiputera) yang terdapat di Negeri ini .
Assalamualaikum/ Selamat Sejahtera,
Semasa rehat selepas mesyuarat dengan pegawai kanan kementerian kewangan Sabah pagi rabu kelmarin, kami borak-borak dan subjek HAIR tak semena-mena jadi sebutan. HAIR yang di maksudkan bukan lah istilah Rambut dalam bahasa Inggeris, tetapi sebuah ringkasan konsep atau falsafah yang di terapkan menjadi sebahagian budaya-kerja di Sarawak Shell Berhad. Saya berpeluang bekerja sebagai Jurutera Projek di Sarawak Shell Berhad ,sebuah syarikat multinasional. Saya meninggalkan jawatan Jurutera Proses di Sabah Gas Industries pada tahun 1988 setelah mendapat tawaran yang sukar untuk di tolak dari Syarikat Shell tersebut yang berpengkalan di Miri, Sarawak.
Walaupun hampir 17 tahun saya telah tinggalkan Shell, namun Falsafah HAIR yang saya pelajari semasa bekerja di sana masih segar dalam ingatan.
HAIR yang di maksudkan adalah ringkasan dari empat perkataan yang membawa makna mendalam bagi membina jatidiri kakitangan syarikat gergasi dalam sektor Petroleum dan Gas tersebut.
H bermaksud Helikopter,di mana setiap pekerja Shell mesti berpandangan jauh, mempunyai visi yang jelas, mampu ‘berfikir di luar kotak’, sentiasa sedar bahawa sebarang tindakan ‘besar’ yang di ambil memberi kesan bukan sahaja kepada diri kita, lingkungan mau pun zaman kita semata-mata bahkan akan mendatangkan impak positif atau negatif kepada orang lain melepasi jangkauan dan sempadan tempat dan masa.Oleh itu, amatlah wajar sebelum mengambil sebarang tindakan, bayangkan diri anda sebuah Helikopter yang boleh terbang tinggi, mampu melihat apa yang ada di sebalik bukit-bukau, hutan belantara dan sungai serta lautan yang luas.Dengan kelebihan memandang jauh, sudah pasti tindakan yang di ambil adalah lahir dari perancangan teliti dengan mengambil-kira risiko, kekuatan serta kelemahan, peluang serta ancaman hasil dari kualiti dan kelebihan berpandangan jauh tersebut.
A pula bermaksud ‘Analytical Power (AP)’ atau Kekuatan Menganalisa. Orang yang memiliki kemampuan serta kekuatan menganalisa akan sentiasa berada berbatu-batu di hadapan dari segi kejayaan di bandingkan dengan yang tidak memiliki kualiti tersebut. Bayangkan anda di berikan tugasan mudah untuk beli ikan, dan bagi kebanyakan kita akan terus pergi ke pasar berdekatan, beli ikan dan terus pulang.Namun bagi mereka yang memiliki AP, mungkin mereka akan buka akhbar atau internet untuk menilai harga semasa ikan di pasaran agar mereka tidak tertipu, akan membuat perbandingan samada berbaloi beli ikan segar di pasar, hypermarket atau langsung dari nelayan di jeti punggahan ikan . Mereka juga akan menilai waktu paling sesuai untuk keluar memandu misalnya untuk membeli ikan tersebut agar dapat ikan paling segar dan pada masa yang sama tidak terperangkap dalam kesesakan lalu-lintas yang boleh menyebabkan ikan menjadi rosak. Kegagalan memiliki AP dalam menyelesaikan sebarang permasaalahan atau isu akan memberikan natijah atau hasil yang kurang sempurna atau menemui kegagalan sama-sekali.
I pula membawa maksud ‘Initiative’ atau inisiatif . Mereka yang memiliki sikap berinisiatif adalah mereka yang mempunyai kekuatan dalaman dan ‘passion’ untuk melakukan sesuatu yang mereka suka atau rasa sebagai tanggungjawab mereka untuk lakukan. Mereka tergolong dari insan yang dedikasi, berdisiplin dan amat memahami tugas,peranan maupun tanggungjawab yang mereka pegang. Bagi mereka memegang amanah bukan setakat ‘melepaskan batuk di tangga’ bahkan dalam setiap ketika mereka memilih untuk melaksanakan tugas melebihi apa yang di jangka atau di harapkan oleh majikan mereka.
R adalah ‘Realistic atau Sense of Reality’. Dalam maksud yang mudah, seorang yang memiliki ‘a sense of reality’ adalah seorang yang berpijak di bumi yang nyata. Walau setinggi mana pun visi, cita-cita, maupun perancangan yang ingin kita laksanakan, namun kita mesti sentiasa sedar akan kekangan, halangan serta cabaran yang akan terus kita hadapi.Sehubungan itu, sebarang perancangan yang ingin di lakukan mestilah mengambil kira kos, masa dan sumber-sumber yang realistik dari segi ketepatan serta keadaannya. ‘R’ juga boleh membawa makna Root atau Akar di mana seseorang itu wajar sentiasa ingat asal-usulnya atau asas tempat dia bermula. Dengan mengingati ‘Root’ nya, sudah pasti dia tidak akan terlalu sombong atau takbur apabila sudah berjaya mencapai apa yang dicita-citakan.
Falsafah HAIR ini sebenarnya boleh diaplikasikan dalam setiap bidang dan keadaan dan sudah pasti akan meningkatkan potensi diri mereka yang mengamalkannya di masa hadapan.
Assalamualaikum dan selamat sejahtera,
Jemaah Kabinet baru Malaysia yang di umumkan YAB Dato Seri Najib pada 09/04/09 merupakan gandingan mantap muka lama dan baru. Mereka yang terpilih adalah yang terbaik dalam penelitian DS Najib ,mengambil kira senioriti dalam parti masing-masing,pengalaman,kelayakan, integriti,kesetiaan serta faktor geografi perwakilan negeri-negeri.
Suasana politik negara yang tidak terlalu menyebelahi BN di samping krisis ekonomi global yang tidak menentu merupakan antara cabaran utama yang perlu di tangani dengan segera oleh barisan kabinet baru ini. Mereka tidak punya banyak pilihan kecuali harus membuktikan bahawa ‘Agenda Perubahan’ yang di laung-laungkan bukan rhetorik tetapi sesuatu yang mampu di capai oleh barisan kabinet yang ‘Berkerja Untuk Rakyat’ sesuai dengan Slogan Baru ‘Satu Malaysia, Rakyat Di dahulukan dan Prestasi Di Utamakan’.
Ada juga suara-suara bertanya kenapa KJ selaku Ketua Pemuda UMNO yang baru tetapi tercicir dari mengisi senarai anggota kabinet yang baru sedangkan pimpinan sayap Wanita dan Puteri di berikan tempat, malah calon yang tewas seperti Mukhriz pun di lantik Timbalan Menteri. DS Najib telah membuat keputusan berdasarkan suasana semasa dimana jemaah kabinet baru perlu segera bergerak tanpa ‘excess baggage’ dan beban yang boleh melambatkan perjalanan mencapai misi yang ingin di capai dalam waktu yang paling singkat. Pelbagai
persepsi negatif yang menghantui KJ tidak semestinya betul, namun beliau terpaksa menjadi ‘korban’ demi mengembalikan semula keyakinan rakyat terhadap Kerajaan BN di bawah Perdana Menteri yang baru.Mereka yang berhasrat menganggotai Saf Kepimpinan DS Najib bukan sahaja mesti memiliki kriteria-kriteria yang tersebut di atas bahkan yang lebih penting mereka mesti di lihat ‘bersih’ dan ‘berintegriti’ kerana ‘the real war in politic is to win the war of public perception’.
Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera,
Hari ini saya bermula menyertai rakan-rakan Blogger untuk secara aktif melontarkan pandangan tentang isu-isu semasa melalui Blog. Sebenarnya sudah lebih dua tahun saya berhasrat untuk berblog secara aktif, namun kesempitan masa menyebabkan hasrat tersebut tidak kesampaian.
Malam semalam saya menghadiri majlis kenduri Doa Selamat,Solat Maghrib/Isha,Solat Hajat,Baca Surah Yassin,Tahlil dan Doa di Sri Satria, Putrajaya ,kediaman resmi YAB Dato Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak. Dalam ucapan beliau di majlis tersebut, DS Najib mengingatkan semua betapa perlunya Falsafah Perjuangan UMNO di hayati dan bukan setakat menjadi ahli UMNO tapi tak jelas matlamat serta halatuju perjuangan. Sehubungan itu , beliau akan memastikan setiap pimpinan parti akan di wajibkan mengikuti kursus termasuk latihan perkaderan secara berkala kepada ahli Pemuda dan Puteri. Beliau juga mahu perubahan strategi serta pendekatan di lakukan dalam kempen PRK dan PRU yang akan datang dengan mengambil kira perubahan zaman.
Sebagai menyahut seruan berubah mengikut perubahan zaman, rasanya belum terlambat untuk saya menyertai alam Blogging agar apa yang tersimpan di benak saya yang kerdil ini dapat di kongsikan untuk kebaikan diri sendiri dan sesiapa yang sudi mengikutinya.
| M | T | W | T | F | S | S |
|---|---|---|---|---|---|---|
| « Feb | ||||||
| 1 | 2 | 3 | 4 | 5 | 6 | |
| 7 | 8 | 9 | 10 | 11 | 12 | 13 |
| 14 | 15 | 16 | 17 | 18 | 19 | 20 |
| 21 | 22 | 23 | 24 | 25 | 26 | 27 |
| 28 | 29 | 30 | 31 | |||