Kedudukan siapa Menteri Besar Perak ibarat permainan Yo-Yo, sekejap Nizar diatas,kemudian Zambry pula diatas. Semalam Mahkamah Tinggi(Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas) mengistiharkan Nizar masih lagi Menteri Besar yang sah dan mula kembali masuk pejabat Menteri Besar Perak pagi ini. Namun menjelang awal petang selasa hari ini, Mahkamah Rayuan pula menerima permohonan Zambry untuk tangguhkan keputusan pengesahan Nizar sebagai Menteri Besar. Maknanya Zambry akan kekal sebagai Menteri Besar sehingga proses rayuan beliau selesai.
Yang menarik dalam kes yang akan menjadi ‘Landmark Case’ serta bakal rujukan masadepan bagi pengamal dalam Undang-Undang Perlembagaan adalah cara penerimaan mereka yang terlibat serta penyokong masing-masing. Apabila Nizar disahkan masih Menteri Besar yang sah untuk Perak, maka bergembiralah para penyokong Pakatan Rakyat dengan gelagat-gelagat tersendiri mereka, manakala penyokong BN pula menerima keputusan Mahkamah Tinggi tersebut dengan hati terbuka sebagai menghormati prinsip kedaulatan undang-undang.Tidak nampak pula walau seorang pun penyokong BN yang merusuh atau baring di tengah jalan bagi menghalang laluan kereta Hakim Mahkamah Tinggi yang membuat keputusan penghakiman yang tidak berpihak kepada Zambry atau BN.
Demikian juga adalah diharapkan agar semua rakyat Malaysia sentiasa bertenang dalam menerima apa juga keputusan Mahkamah berkenaan sebarang kes yang ada hubungan dengan politik atau orang politik bagi memastikan kedaulatan undang-undang terus dipertahankan dan negara Malaysia akan terus aman dan tenteram.
ZAMBRY ATAU NIZAR?
May 12th, 2009 by tawfiqabtNAJIB CONTOH PEMIMPIN YANG CAKAP SERUPA BIKIN
May 6th, 2009 by tawfiqabtSaya baru selesai menghadiri kenduri tahlil arwah ayah kepada sahabat saya yang kebetulan tinggal berjiran sebelah pagar. Semasa minum-minum teh tarik selepas makan malam, kami sembang-sembang tentang isu semasa yang berlaku di seluruh negara. Salah seorang yang turut hadir dalam majlis tersebut adalah mantan pegawai tinggi kerajaan Sabah yang sudah pun pencen tapi masih memegang jawatan sebagai Pengerusi serta Ahli Lembaga Pengarah beberapa Badan Berkanun dan GLC Negeri Sabah. Dia menyatakan kekagumannya terhadap penampilan serta cara YAB Dato Najib dalam menyampaikan ucapan. Tambahnya lagi, setiap kali mendengar Dato Najib berucap, dia tidak pernah merasa jemu malah seakan-akan mahu terus mendengar ucapan yang lebih panjang. Begitu lah hebatnya Dato Najib, yang bukan sahaja ucapannya penuh berisi bahkan disampaikan dengan penuh karisma, gaya bersahaja,mampu menaikkkan semangat pendengar dan sekali-sekala di selangi jenaka yang membuat para pendengar tertawa terbahak-bahak.
Semasa berucap di hadapan lebih 15,000 rakyat Sabah yang berhimpun di Padang Merdeka, Kota Kinabalu pada 5hb Mei 2009 , YAB Dato Najib sekali lagi berjaya memukau rakyat pelbagai suku-kaum, agama serta adat-resam, dengan ucapan yang sungguh berani dan memberangsangkan. Antara sedutan ucapan beliau yang menarik adalah seperti di bawah:
“Rakyat di dahulukan dan Pencapaian di utamakan bermakna pemimpin serta wakil rakyat mesti benar-benar berkhidmat sebaik mungkin untuk rakyat,jadi hamba kepada rakyat. Pemimpin mesti turun padang mendengar masaalah rakyat dan berusaha menyelesaikan masaalah yang di hadapi oleh rakyat secepat yang mungkin. Dengan cara ini maka sudah pasti pemimpin akan sentiasa berada di hati rakyat”
“Tak payah tunggu jemputan sebagai wakil rakyat untuk turun padang berjumpa rakyat, tak payah diundang, tak perlu ada bunga manggar, tidak payah hamparan permaidani merah, tak payah tunggu jurukamera televisyen ada, tak payah protokol-protokol atau rasmi-rasmi”
“Ada banyak bezanya kalau kita diberi taklimat dalam bilik berhawa dingin,duduk dikerusi empuk, tapi kalau kita turun padang tengok masaalah yang ditanggung rakyat dengan mata-kepala kita sendiri, kita hidu baunya maka barulah kita tahu apa masaalah rakyat yang sebenarnya. Inilah stail yang saya mahu dari semua pemimpin-pemimpin BN”,
“Kalau Perdana Menteri boleh buat, menteri-menteri tak boleh buat kah? Wakil-wakil rakyat tak boleh buat kah?”
“Saya mahu pemimpin menjadi orang yang disayangi dan dihormati oleh rakyat dan bukannya jadi pemimpin yang ditakuti oleh rakyat. Pemimpin yang ditakuti rakyat apabila kelak tidak punya jawatan akan dikutuk oleh rakyat”
Demikianlah antara sedutan ucapan YAB Dato Najib yang mendapat sorakan serta sokongan hebat dari rakyat Negeri DiBawah Bayu. Yang menarik selepas sahaja perhimpunan bersama rakyat tersebut, YAB Perdana Menteri telah mengambil masa kira-kira setengah jam mengunjungi rumah Arwah Usahawan Sabah disebelah rumah saya tanpa notis dan turut bersama menunaikan solat jenazah(program ziarah ini tidak termasuk dalam aturcara rasmi lawatan PM). Selepas solat jenazah YAB Dato Najib terus barsalam-salaman mesra dengan semua yang hadir termasuk beberapa orang teman-teman dari bangsa Tionghua (rakan-rakan perniagaan arwah mungkin) yang nampak terpinga-pinga tapi gembira kerana dapat peluang bermesra dengan Pemimpin Nombor Satu Negara yang begitu ‘Humble’ serta mesra-rakyat.
Selepas itu, YAB Dato Najib meneruskan acara turun padangnya dengan program ‘Walk-about” atau ‘Tinjauan Mesra’ ke pasar kraftangan Kota Kinabalu dan beberapa tempat awam yang lain, sambil meneliti keperluan serta masaalah yang di hadapi oleh peniaga serta penjaja yang menjalankan perniagaan di kawasan tersebut.
Inilah pendekatan Perdana Menteri Malaysia ke-6 yang sudah pasti akan mampu memenangi serta menawan hati seluruh rakyat Malaysia.
PERTEMBUNGAN FRAKSI:ULAMA Vs ERDOGAN
May 5th, 2009 by tawfiqabtMuktamar PAS yang akan diadakan tidak berapa lama lagi berjaya menarik perhatian bukan sahaja dari kalangan jemaahnya bahkan dari ramai non-partisan dari luar parti tersebut. Yang menjadi debaran kepada ahli-ahli parti yang menjadikan Islam sebagai Tunjang perjuangan itu adalah siapa gerangan bakal menggalas kepercayaan ahli-ahli parti untuk meneruskan Amanah menegakkan Negara Islam di bumi Malaysia.
Lebih menarik pemilihan kali ini menyaksikan pertembungan antara golongan Ulama dan golongan Professional bukan Ulama (ERDOGAN) yang cuba menagih simpati ahli-ahli Pas dalam meneruskan Agenda Parti mengikut ‘kaedah’ serta ‘pendekatan’ yang berbeza. Golongan Ulama yang kini menguasai kedua-dua jawatan tertinggi parti tersebut iaitu Ustaz Abdul Hadi Awang sebagai Presiden dan Ustaz Nasaruddin sebagai Timbalan Presiden di jangka bakal menghadapi saingan sengit dari Golongan Erdogan yang ‘di nakhodai’ oleh Husam Musa dan rakan-rakannya.
Bagi Golongan Ulama, asas perjuangan menegakkan Kerajaan Islam yang mereka impikan tidak bermakna harus mengkompromi prinsip serta dasar keislaman demi mendapatkan secebis ‘kuasa’. Kejayaan sebenar bukannya dalam mendirikan kerajaan bahkan yang di dambakan adalah ‘keredhaan Allah’ semata-mata. Kalau tidak berjaya di dunia namun istiqamah dalam perjuangan, maka kejayaan di Akhirat dan keredhaan Allah swt menjadi matlamat utama.
Sementara itu, Golongan Erdogan pula membawa pendekatan berbeza. Bagi mereka yang menjadi keutamaan adalah mendapatkan ‘kuasa’ walau dengan apa cara sekali pun. Dengan kuasa berada di tangan baru lah agenda islamisasi serta menegakkan ‘daulah islamiyah’ akan menjadi lebih bermakna serta mudah di jadikan realiti. Agenda ‘Matlamat Menghalalkan Cara’ Golongan Erdogan ini menyebabkan seringkali prinsip perjuangan Pas menjadi haru-biru dan menjadi bahan jenaka saingan politik lain. Sebagai contoh kalau dahulu, pakatan antara UMNO dengan MCA, MIC menyebabkan UMNO di tuduh sebagai parti ‘kafir’ dan akibatnya sembelihan orang UMNO tidak halal di makan, namun kini dalam keserabutan mengejar kuasa, pakatan PAS dengan DAP di anggap ‘harus’ serta ‘halal’ walaupun DAP terang-terangan menentang pembentukan Negara Islam serta HUDUD yang selama ini menjadi asas utama perjuangan Jemaah PAS.
Setiap hari ada sahaja kenyataan akhbar oleh wakil-wakil kedua-dua kelompok tersebut di siarkan oleh media arus perdana atau media alternatif, yang menunjukkan bahwa pertembungan antara dua kelompok tersebut tidak dapat dielakkan. Tambahan pula terdapat khabar-khabar angin yang mengatakan bahwa wujudnya ‘personaliti politik’ dari luar PAS yang cuba-cuba masuk campur secara halus untuk menguasai PAS melalui proksi dan kroni yang di pasang dalam pertembungan kepimpinan parti Islam tertua di Malaysia.
PERISTIWA LUCU BERSAMA MAK CIK DARI KOTA BELUD
April 28th, 2009 by tawfiqabtIni adalah peristiwa benar yang berlaku kepada saya beberapa tahun lalu semasa saya masih bertugas sebagai Pembantu Menteri Kementerian Pembangunan Luar Bandar Negeri Sabah. Sebagai penjawat awam dan wakil rakyat, pejabat saya di Tawau maupun di Kota Kinabalu memang tidak pernah sunyi dari di kunjungi pelawat-pelawat yang datang untuk pelbagai maksud serta tujuan.
Ada yang mengadu tentang masaalah kekurangan infrastruktur di kampung, tidak kurang pula yang memohon sokongan untuk mendapatkan pekerjaan, sokongan untuk biasiswa, sokongan untuk berurusan dengan jabatan-jabatan kerajaan, malah ramai yang menganggap bahwa pejabat wakil rakyat adalah pusat mendapatkan bantuan kebajikan kewangan dan lain-lain.
Pada suatu hari, pejabat saya di Kota Kinabalu di kunjungi seorang wanita tua dengan pakaian yang comot, mulut mengunyah sirih hingga ternampak lah barisan gigi ronggak berwarna merah kehitam-hitaman.
“Assalamualaikum Mak Cik, silakan masuk dan ambil tempat duduk” kata saya sambil mempersilakan wanita tua yang dalam jangkaan saya berumur lebih 60 tahun itu untuk duduk di kerusi tetamu . Wanita tua itu tanpa bersuara terus saja duduk dengan bola matanya merenung saya dengan pandangan yang tajam.. Saya melakar senyuman kepadanya untuk memastikan dia berada dalam keadaan selesa dan tidak terlalu kekok berada di pejabat Pembantu Menteri,kononnya… Hati saya pula tertanya-tanya gerangan nenek siapa lah ni di biarkan berkeliaran hingga tersesat masuk kepejabat saya..hehe…
“Di mana saya boleh berludah Datuk?”pertanyaannya yang tidak berapa jelas kerana mulut yang penuh air liur merah ibarat darah, menyentak lamunan saya dan saya terus bergegas menunjukkan arah bilik air yang tak berapa jauh dari meja saya. “Di situ Mak Cik, pegi lah Mak Cik” kata saya sambil berharap-harap Mak Cik itu tidak tersembur air liur nya di karpet biru bilik saya.
Beberapa minit kemudian Mak Cik itu kembali duduk ,nampak dia dalam keadaan lega tapi masih lagi mengunyah sirih.
“Apa yang boleh saya bantu Mak Cik?” tanya saya dengan tidak sabar menanti jawapan wanita tua tersebut. “Saya mohon Datuk bantu saya untuk bayarkan yuran sekolah cucu-cucu saya”ujarnya selamba sambil mengeluarkan beberapa keping kertas lalu menyerahkan kepada saya. Saya pun meneliti kepingan-kepingan kertas yang hampir koyak mungkin kerana terlalu kerap di usung ke hulu dan ke hilir oleh wanita tua tersebut.
“Ini senarai tuntutan yuran cucu-cucu Mak Cik yang bersekolah di Kota Belud, makna nya Mak Cik ni pun datang dari Kota Belud lah kan?” tanya saya dan wanita tua itu mengangguk-angguk kepala tanda mengiyakan bahawa memang sah dia dari Kota Belud.
“Mak Cik, bukan nya saya tak mau bantu, tapi kalau Mak Cik dari Kota Belud sewajarnya Mak Cik kena pegi jumpa YB-YB dari Kota Belud seperti Datuk Salleh Said, Tan Sri Pandikar, Datuk Japlin atau Datuk Hj Musbah, pasti dorang akan bantu Mak Cik” saya cuba memberi penjelasan sebagai alasan untuk tidak perlu membantu berbentuk kewangan kepada wanita tua itu. Dalam hati saya kalau semua orang yang datang dari seluruh Sabah minta bantuan kewangan dan saya penuhi permintaan mereka, alamat kering lah wang gaji saya sebelum pertengahan bulan dan tambah botak lah kepala saya ni….
“Kenapa Datuk tidak boleh bantu saya kah?”tanyanya lagi,
“Mak Cik, biasanya saya selaku wakil rakyat dari Tawau DUN Apas akan bantu kewangan bagi rakyat Tawau atau Apas yang susah tapi bukan rakyat dari kawasan lain”,
“Tapi Datuk ada jawatan kah dalam Kerajaan Sabah?” tanya wanita tua itu lagi..
“Ada Mak Cik, saya Pembantu Menteri Luar Bandar Sabah”,jawapan saya membuat Mak Cik tua itu tambah berkerut dahi nya yang memang pun sudah penuh dengan garis-garis lambang pengalaman pahit perjuangan kehidupannya .
“Datuk jadi Pembantu Menteri Luar Bandar hanya untuk kawasan Tawau dan Apas saja kah Datuk?”soalan cepu emas Mak Cik tua ini benar-benar menghiris dan melumatkan perasaan ego saya dan hampir-hampir menyebabkan saya terjatuh dari kerusi empuk saya.
“Tidak Mak Cik, saya jadi Pembantu Menteri Luar Bandar untuk Seluruh Negeri Sabah”jawab saya seakan-akan tidak bermaya kerana saya dapat menjangkakan bahawa hujah wanita tua dari Kota Belud itu seterusnya sudah pasti akan mematahkan segala strategi awal saya.
“Kalau begitu Datuk Wajib bantu saya kerana saya orang susah dari luar bandar Sabah, dari Kota Belud ni Datuk”, katanya dengan bangga, seakan-akan Pendakwa Raya Kanan Persekutuan yang telah berjaya mematah dan menamatkan hujah-hujah lawannya.
“Baik lah Mak Cik , saya boleh bantu sikit tapi tidak lah bantu bayar semua yuran-yuran itu”, jawab saya sambil menyeluk saku dan mengeluarkan dua keping nota RM50 dan menghulurkan ketangan wanita tua yang tersenyum-senyum gembira itu.
“Terima kasih Datuk, mudah-mudahan Datuk tambah murah rezeki”, itulah kata-kata akhir dari Mak Cik tua dari Kota Belud yang selepas itu tidak lagi pernah saya temui.
“Terima kasih kembali kerana menyedarkan saya tentang tugas yang saya pikul sebagai wakil rakyat dan jemaah kabinet Negeri Sabah”bisik hati kecil saya sambil bersyukur ke Hadrat Allah kerana menghantar seorang wanita tua miskin untuk mengajar saya tentang makna tanggung-jawab dalam memegang jawatan.
Demikian lah peristiwa lucu tapi penuh dengan makna serta iktibar yang akan terus segar dalam ingatan saya dan akan menjadi sebahagian panduan dalam meneruskan liku-liku perjuangan sebagai wakil yang berkhidmat untuk rakyat….
ADUN DAP BERSIKAP ‘UNPARLIAMENTARY’ DALAM SIDANG DEWAN
April 22nd, 2009 by tawfiqabtSemasa sesi penggulungan YAB Ketua Menteri/Menteri Kewangan di Dewan Undangan Negeri Sabah pada hari terakhir sebelum Sidang Dewan di tangguh petang 22April 2009, ADUN tunggal DAP dari Sri Tanjong membuat kekecohan yang memalukan. Beberapa kali ADUN DAP tersebut mengganggu ucapan penggulungan yang di buat Datuk Musa dengan nada keras menengking sambil
menyebut perkataan ‘unparliamentary’ seperti ‘Kau’ berkali-kali ,tidak mengendahkan arahan Speaker Dewan untuk duduk serta membuat tuduhan tanpa asas bahawa YAB Ketua Menteri seorang ‘Diktator’.
Aksi memalukan yang di lakukan beliau amatlah mencemar kemuliaan Dewan Undangan Negeri Sabah dan dengan berteriak-teriak tidak keruan beliau seakan-akan beranggapan bahawa beliau berada di kedai kopi atau di pasar ikan!
Episod tersebut bermula apabila YAB Ketua Menteri menyentuh dan menjawab beberapa isu serta persoalan yang di bangkitkan oleh ADUN-ADUN semasa sesi perbahasan Usul Ucapan Terima Kasih atas Ucapan Dasar Tuan Yang Terutama Yang DiPertua Negeri Sabah.
Semasa menjawab persoalan tentang beberapa batang jalanraya di kawasan Ulu Kalumpang yang rosak, YAB Ketua Menteri menjelaskan bahawa jalan-jalan tersebut tidak dapat di perbaiki buat sementara waktu kerana ianya belum di gazet sebagai Jalan Kerajaan dan masih di bawah Jalan Estate atau Jalan Peribadi Pekebun Kecil. Penjelasan ini gagal di fahami ADUN DAP tersebut dan beliau berkeras mahu Kerajaan melakukan pembaikan tersebut dengan alasan Kerajaan Sabah telah mengenakan Cukai Jualan Minyak Sawit Mentah terhadap semua pekebun kelapa sawit termasuk pekebun kecil.
Sebenarnya umum mengetahui bahawa Cukai Jualan Minyak Sawit Mentah (CPO Sales Tax) sebanyak 7.5% hanya dikenakan terhadap Penggilang Minyak Sawit Mentah dan tidak di kenakan kepada penjualan Buah Sawit Tandan Segar. Sehubungan itu, dakwaan bahawa pekebun-pekebun kecil sawit turut di kenakan cukai jualan 7.5% adalah tidak tepat dan mengelirukan.
Sebelum Cukai Jualan 7.5% terhadap CPO di kuat-kuasakan oleh Kerajaan Negeri, Industri Sawit di Sabah yang kebanyakannya di miliki syarikat-syarikat gergasi dari Semenjung Malaysia telah mengaut keuntungan ribuan juta ringgit tanpa memberi sebarang pulangan kepada Negeri Sabah, yang telah begitu banyak memberikan kemudahan infrastruktur seperti kemudahan jalanraya, pelabuhan, serta lain-lain keperluan asas. Syarikat-syarikat tersebut kalau pun membayar cukai , namun cukai tersebut di bayar langsung kepada Kerajaan Persekutuan. Yang lebih mendukacitakan lagi, kakitangan syarikat pun kadangkala di-bawa dari Semenjung Malaysia, manakala pekerja buruh pula adalah terdiri dari pekerja kontrak dari negara jiran Indonesia.
Diatas kebijaksanaan YAB Datuk Musa selaku Menteri Kewangan Sabah, Cukai Jualan CPO yang mula di perkenalkan beberapa tahun lalu telah mampu menyumbang hasil yang lumayan untuk Negeri Sabah. Dalam tahun 2008, jumlah pungutan hasil Cukai Jualan CPO mencecah RM1 Billion, yakni melebihi 30% dari Jumlah keseluruhan kutipan Hasil Negeri sebanyak RM3.34 Billion. Inilah dana yang akan di gunakan oleh Kerajaan Negeri Sabah bagi melaksanakan pembangunan berterusan Negeri Sabah untuk kesejahteraan rakyat tanpa mengira samaada di bandar maupun di luar bandar.
Dalam pada itu, sebagai kerajaan yang bertanggung jawab dan perihatin terhadap masaalah pekebun-pekebun kecil sawit terutama yang memiliki tanah kurang dari 15 ekar, kerajaan telah menubuhkan Skim Bantuan Khas dan Pinjaman Mudah untuk Pekebun-Pekebun Kecil Sawit. Pada 8 Januari 2009,Kerajaan Negeri telah mengumumkan Dana RM50 Juta sebagai tabung khas bagi membantu Pekebun Kecil Sawit (PKS) yang menghadapi masaalah kewangan berikutan kejatuhan harga komoditi tersebut melalui skim-skim yang di sebut di atas.
Selain itu, Jabatan Pertanian Sabah menyediakan pelbagai jenis bantuan untuk PKS berkelompok seperti bantuan dana buka kawasan dengan kadar RM750 sehektar,bibit sawit @160 pokok/sehektar,
bantuan baja/racun kimia, peralatan ladang dan juga perkhidmatan bimbingan serta nasihat.
Agensi-agensi lain seperti SLDB, Sawit Kinabalu, FELDA, FELCRA, Lembaga Pertubuhan Peladang dan lain-lain juga mempunyai skim serta kaedah masing-masing untuk membantu PKS (kebanyakannya Pekebun- Pekebun Bumiputera) yang terdapat di Negeri ini .
HAIR
April 15th, 2009 by tawfiqabtAssalamualaikum/ Selamat Sejahtera,
Semasa rehat selepas mesyuarat dengan pegawai kanan kementerian kewangan Sabah pagi rabu kelmarin, kami borak-borak dan subjek HAIR tak semena-mena jadi sebutan. HAIR yang di maksudkan bukan lah istilah Rambut dalam bahasa Inggeris, tetapi sebuah ringkasan konsep atau falsafah yang di terapkan menjadi sebahagian budaya-kerja di Sarawak Shell Berhad. Saya berpeluang bekerja sebagai Jurutera Projek di Sarawak Shell Berhad ,sebuah syarikat multinasional. Saya meninggalkan jawatan Jurutera Proses di Sabah Gas Industries pada tahun 1988 setelah mendapat tawaran yang sukar untuk di tolak dari Syarikat Shell tersebut yang berpengkalan di Miri, Sarawak.
Walaupun hampir 17 tahun saya telah tinggalkan Shell, namun Falsafah HAIR yang saya pelajari semasa bekerja di sana masih segar dalam ingatan.
HAIR yang di maksudkan adalah ringkasan dari empat perkataan yang membawa makna mendalam bagi membina jatidiri kakitangan syarikat gergasi dalam sektor Petroleum dan Gas tersebut.
H bermaksud Helikopter,di mana setiap pekerja Shell mesti berpandangan jauh, mempunyai visi yang jelas, mampu ‘berfikir di luar kotak’, sentiasa sedar bahawa sebarang tindakan ‘besar’ yang di ambil memberi kesan bukan sahaja kepada diri kita, lingkungan mau pun zaman kita semata-mata bahkan akan mendatangkan impak positif atau negatif kepada orang lain melepasi jangkauan dan sempadan tempat dan masa.Oleh itu, amatlah wajar sebelum mengambil sebarang tindakan, bayangkan diri anda sebuah Helikopter yang boleh terbang tinggi, mampu melihat apa yang ada di sebalik bukit-bukau, hutan belantara dan sungai serta lautan yang luas.Dengan kelebihan memandang jauh, sudah pasti tindakan yang di ambil adalah lahir dari perancangan teliti dengan mengambil-kira risiko, kekuatan serta kelemahan, peluang serta ancaman hasil dari kualiti dan kelebihan berpandangan jauh tersebut.
A pula bermaksud ‘Analytical Power (AP)’ atau Kekuatan Menganalisa. Orang yang memiliki kemampuan serta kekuatan menganalisa akan sentiasa berada berbatu-batu di hadapan dari segi kejayaan di bandingkan dengan yang tidak memiliki kualiti tersebut. Bayangkan anda di berikan tugasan mudah untuk beli ikan, dan bagi kebanyakan kita akan terus pergi ke pasar berdekatan, beli ikan dan terus pulang.Namun bagi mereka yang memiliki AP, mungkin mereka akan buka akhbar atau internet untuk menilai harga semasa ikan di pasaran agar mereka tidak tertipu, akan membuat perbandingan samada berbaloi beli ikan segar di pasar, hypermarket atau langsung dari nelayan di jeti punggahan ikan . Mereka juga akan menilai waktu paling sesuai untuk keluar memandu misalnya untuk membeli ikan tersebut agar dapat ikan paling segar dan pada masa yang sama tidak terperangkap dalam kesesakan lalu-lintas yang boleh menyebabkan ikan menjadi rosak. Kegagalan memiliki AP dalam menyelesaikan sebarang permasaalahan atau isu akan memberikan natijah atau hasil yang kurang sempurna atau menemui kegagalan sama-sekali.
I pula membawa maksud ‘Initiative’ atau inisiatif . Mereka yang memiliki sikap berinisiatif adalah mereka yang mempunyai kekuatan dalaman dan ‘passion’ untuk melakukan sesuatu yang mereka suka atau rasa sebagai tanggungjawab mereka untuk lakukan. Mereka tergolong dari insan yang dedikasi, berdisiplin dan amat memahami tugas,peranan maupun tanggungjawab yang mereka pegang. Bagi mereka memegang amanah bukan setakat ‘melepaskan batuk di tangga’ bahkan dalam setiap ketika mereka memilih untuk melaksanakan tugas melebihi apa yang di jangka atau di harapkan oleh majikan mereka.
R adalah ‘Realistic atau Sense of Reality’. Dalam maksud yang mudah, seorang yang memiliki ‘a sense of reality’ adalah seorang yang berpijak di bumi yang nyata. Walau setinggi mana pun visi, cita-cita, maupun perancangan yang ingin kita laksanakan, namun kita mesti sentiasa sedar akan kekangan, halangan serta cabaran yang akan terus kita hadapi.Sehubungan itu, sebarang perancangan yang ingin di lakukan mestilah mengambil kira kos, masa dan sumber-sumber yang realistik dari segi ketepatan serta keadaannya. ‘R’ juga boleh membawa makna Root atau Akar di mana seseorang itu wajar sentiasa ingat asal-usulnya atau asas tempat dia bermula. Dengan mengingati ‘Root’ nya, sudah pasti dia tidak akan terlalu sombong atau takbur apabila sudah berjaya mencapai apa yang dicita-citakan.
Falsafah HAIR ini sebenarnya boleh diaplikasikan dalam setiap bidang dan keadaan dan sudah pasti akan meningkatkan potensi diri mereka yang mengamalkannya di masa hadapan.
KABINET BARU MALAYSIA
April 11th, 2009 by tawfiqabtAssalamualaikum dan selamat sejahtera,
Jemaah Kabinet baru Malaysia yang di umumkan YAB Dato Seri Najib pada 09/04/09 merupakan gandingan mantap muka lama dan baru. Mereka yang terpilih adalah yang terbaik dalam penelitian DS Najib ,mengambil kira senioriti dalam parti masing-masing,pengalaman,kelayakan, integriti,kesetiaan serta faktor geografi perwakilan negeri-negeri.
Suasana politik negara yang tidak terlalu menyebelahi BN di samping krisis ekonomi global yang tidak menentu merupakan antara cabaran utama yang perlu di tangani dengan segera oleh barisan kabinet baru ini. Mereka tidak punya banyak pilihan kecuali harus membuktikan bahawa ‘Agenda Perubahan’ yang di laung-laungkan bukan rhetorik tetapi sesuatu yang mampu di capai oleh barisan kabinet yang ‘Berkerja Untuk Rakyat’ sesuai dengan Slogan Baru ‘Satu Malaysia, Rakyat Di dahulukan dan Prestasi Di Utamakan’.
Ada juga suara-suara bertanya kenapa KJ selaku Ketua Pemuda UMNO yang baru tetapi tercicir dari mengisi senarai anggota kabinet yang baru sedangkan pimpinan sayap Wanita dan Puteri di berikan tempat, malah calon yang tewas seperti Mukhriz pun di lantik Timbalan Menteri. DS Najib telah membuat keputusan berdasarkan suasana semasa dimana jemaah kabinet baru perlu segera bergerak tanpa ‘excess baggage’ dan beban yang boleh melambatkan perjalanan mencapai misi yang ingin di capai dalam waktu yang paling singkat. Pelbagai
persepsi negatif yang menghantui KJ tidak semestinya betul, namun beliau terpaksa menjadi ‘korban’ demi mengembalikan semula keyakinan rakyat terhadap Kerajaan BN di bawah Perdana Menteri yang baru.Mereka yang berhasrat menganggotai Saf Kepimpinan DS Najib bukan sahaja mesti memiliki kriteria-kriteria yang tersebut di atas bahkan yang lebih penting mereka mesti di lihat ‘bersih’ dan ‘berintegriti’ kerana ‘the real war in politic is to win the war of public perception’.
INI BLOG SAYA
April 10th, 2009 by tawfiqabtAssalamualaikum dan Selamat Sejahtera,
Hari ini saya bermula menyertai rakan-rakan Blogger untuk secara aktif melontarkan pandangan tentang isu-isu semasa melalui Blog. Sebenarnya sudah lebih dua tahun saya berhasrat untuk berblog secara aktif, namun kesempitan masa menyebabkan hasrat tersebut tidak kesampaian.
Malam semalam saya menghadiri majlis kenduri Doa Selamat,Solat Maghrib/Isha,Solat Hajat,Baca Surah Yassin,Tahlil dan Doa di Sri Satria, Putrajaya ,kediaman resmi YAB Dato Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak. Dalam ucapan beliau di majlis tersebut, DS Najib mengingatkan semua betapa perlunya Falsafah Perjuangan UMNO di hayati dan bukan setakat menjadi ahli UMNO tapi tak jelas matlamat serta halatuju perjuangan. Sehubungan itu , beliau akan memastikan setiap pimpinan parti akan di wajibkan mengikuti kursus termasuk latihan perkaderan secara berkala kepada ahli Pemuda dan Puteri. Beliau juga mahu perubahan strategi serta pendekatan di lakukan dalam kempen PRK dan PRU yang akan datang dengan mengambil kira perubahan zaman.
Sebagai menyahut seruan berubah mengikut perubahan zaman, rasanya belum terlambat untuk saya menyertai alam Blogging agar apa yang tersimpan di benak saya yang kerdil ini dapat di kongsikan untuk kebaikan diri sendiri dan sesiapa yang sudi mengikutinya.